LABUAN: Seekor anak buaya tembaga air masin seberat kira-kira 15 kilogram dengan panjang 1.5 meter ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu operasi awal pagi Jumaat di Kampung Nagalang, di sini.
Ketua Pasukan, Sarjan (Pertahanan Awam) Jairun Masil berkata pihaknya menerima aduan mengenai penemuan haiwan liar itu kira-kira jam 2.57 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pengadu yang dalam perjalanan untuk memancing ternampak seekor anak buaya di dalam longkang sebelum menghubungi APM.
“Operasi mencari dan menangkap buaya itu dijalankan dengan kekuatan sembilan anggota MyASPA dan operasi tamat kira-kira jam 4.10 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Buaya berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan lanjut.
APM Labuan turut menasihati penduduk setempat supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kecemasan dengan menghubungi talian APM Labuan di 087-415440 atau 087-414293.
Sementara itu, seorang penduduk mendakwa ternampak seekor buaya air masin di Sungai Kampung Ranca-ranca pada Rabu lalu dengan anggaran panjang sekitar 2.5 meter dan berat melebihi 25 kilogram.
Beliau menasihati orang ramai di kawasan berkenaan agar lebih berhati-hati ketika berada berhampiran tebing Sungai Ranca-ranca kerana dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan penduduk.
Minggu lalu, kelibat buaya turut dilaporkan di perairan Labuan termasuk di Kampung Patau-patau sebelum kemudiannya dikesan di Kampung Nagalang dan Pulau Eno.