SABAH Electricity (SE) akan meningkatkan usaha menangani pokok yang berpotensi menjejaskan asetnya berhampiran sebuah kampung di Penampang manakala Telekom Malaysia (TM) Bhd turut berikrar mengambil tindakan sama terhadap pokok dan tumbuhan yang terlalu rimbun di tepi jalan di Labuan.
Tindakan itu diambil susulan maklum balas berasingan daripada seorang pemandu di Penampang dan seorang penduduk di pulau berkenaan mengenai kekurangan penyelenggaraan terhadap pokok di kedua-dua lokasi tersebut.
Pemandu di Penampang itu menyuarakan kebimbangan mengenai sebatang pokok di lereng bukit di Kampung Putaton yang semakin menghampiri ruang udara talian kabel SE di sepanjang laluan menuju ke rumahnya.

Beliau bimbang penduduk kampung serta kawasan sekitar Inobong berdepan gangguan bekalan elektrik sekiranya pokok itu tumbang dan merosakkan atau memutuskan talian atas.
Sementara itu penduduk Labuan turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan telekomunikasi di kawasan perumahannya jika dahan pokok yang terlalu rimbun terus menjulur ke laluan kabel TM di Jalan Tanjung Aru.
Kebimbangan itu timbul selepas beliau ternampak sebatang dahan tersangkut pada talian TM dan merentangi sebahagian jalan ketika memandu pulang pada suatu malam.
Kedua-dua individu terbabit telah menyalurkan maklumat lokasi pemasangan terjejas kepada Hotline sebelum dimajukan kepada syarikat berkaitan untuk tindakan lanjut.

Jurucakap SE berkata pemeriksaan awal telah dijalankan di Jalan Kimbambangan sejurus syarikat itu dihubungi pihak media.
“Kakitangan kami mengesahkan risiko yang ditimbulkan oleh dahan yang menjulur ke arah jalan dan talian penghantaran kami selain menilai skop kerja yang perlu dilakukan,” katanya.
Menurutnya Unit Pemangkasan (Metro) SE kembali ke lokasi itu keesokan hari dengan bantuan sebuah lori dan jentera sky-master serta 10 anggota.
“Mereka menebang pokok yang condong ke arah talian serta lapan pokok lain di lereng bukit yang sama,” katanya sambil menambah syarikat komited melindungi asetnya di kawasan berkenaan.
Beliau berkata kakitangan SE turut diarahkan supaya lebih peka terhadap keadaan pokok di sepanjang jalan yang menempatkan pemasangan syarikat itu bagi mengelakkan gangguan bekalan elektrik.

“Langkah ini penting bagi memastikan pelanggan tidak terjejas oleh gangguan yang berpunca daripada pokok terlalu rimbun.
“Pemangkasan akan dilakukan apabila perlu,” ujarnya.
Sementara itu TM turut menggesa kakitangannya supaya lebih proaktif memantau keadaan pokok berhampiran pemasangan syarikat itu di Labuan.
Jurucakap TM berkata dahan pokok yang tersangkut pada kabel berhampiran persimpangan ke Perumahan MPL dari Jalan Tanjung Aru Lama telah segera dialihkan.
“Empat juruteknik kami dihantar ke lokasi pada petang hari sama selepas menerima aduan dan menggunakan tangga untuk mengeluarkan dahan tersebut,” katanya.
Jurucakap berkenaan berkata tiada jadual penyelenggaraan tetap bagi pemasangan TM di pulau itu namun pemeriksaan dan penyelenggaraan akan dijalankan apabila perlu.
Katanya kakitangan TM juga diingatkan supaya lebih peka terhadap pertumbuhan pokok di bahu jalan berhampiran tiang dan kabel bagi mengelakkan gangguan perkhidmatan.