LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan seorang wanita warga asing dalam satu operasi di sebuah lokasi penempatan di sini, Rabu lepas.
Operasi yang bermula jam 1.15 pagi itu digerakkan oleh Unit Aduan, Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa susulan maklumat orang awam serta risikan mendalam yang telah dijalankan sebelumnya.
Dalam serbuan tersebut, seramai 32 individu diperiksa secara menyeluruh oleh pasukan operasi.
Seorang wanita warga Filipina berusia 23 tahun di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit yang sah.
Selain penahanan tersebut, pihak berkuasa turut mengeluarkan satu notis saman kepada saksi di lokasi kejadian bagi membantu melengkapkan proses siasatan lanjut.
Kesemua individu yang ditahan kini berada di Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Wilayah Persekutuan Labuan untuk proses dokumentasi.
Pihak jabatan menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan secara konsisten bagi mengesan, menangkap, mendakwa, dan mengusir mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang negara, termasuk Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Sehubungan itu, JIM memberikan peringatan keras kepada masyarakat dan majikan agar tidak sesekali melindungi pendatang tanpa izin (PTI) bagi mengelakkan tindakan undang-undang yang berat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan warga asing tanpa izin atau sebarang aktiviti mencurigakan digesa untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak Imigresen bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan wilayah ini terus terpelihara.