RANAU: Dua individu cedera selepas sebuah van hilang kawalan lalu melanggar sebuah ambulans serta beberapa kenderaan lain di Jalan Ranau-Kundasang berhampiran SK Kundasang, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Rantey Fred berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada 11.43 pagi sebelum lima anggota termasuk Komander Operasi PBK II New Mond None @ Paulus digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira dua kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah van jenis Vanette yang merempuh sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Seorang pesakit dikeluarkan dari ambulans dan dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS, sementara pemandu van yang cedera turut dikeluarkan pasukan kami,” katanya, menambah pemandu ambulans tidak cedera.
Beliau berkata pemandu van tersebut diserahkan kepada polis kerana bertindak agresif terhadap pasukan penyelamat.
Selepas memastikan keadaan selamat dan tiada lagi risiko, operasi ditamatkan pada 12.09 tengah hari.