TAWAU: Polis menahan seorang buruh tempatan berusia 30 tahun yang disyaki mencabul kehormatan seorang suri rumah di Kampung Inderasabah, di sini, awal minggu ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata siasatan mendapati suspek menceroboh masuk ke rumah mangsa sebelum mengugut wanita itu menggunakan sebilah pisau.
“Suspek ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah pada kira-kira 1.30 tengah hari, yang turut membawa kepada rampasan sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter di kampung itu juga,” katanya di sini, Jumaat.
Jasmin berkata kejadian berlaku sekitar 2 pagi Isnin lalu ketika mangsa tidur bersama dua anak perempuannya sebelum terjaga apabila menyedari paha kanannya disentuh seseorang.
Terkejut dengan kehadiran lelaki tidak dikenali itu, mangsa menjadi panik apabila suspek mengugutnya supaya tidak menjerit sambil mengacukan pisau.
“Dalam ketakutan, mangsa akhirnya menjerit sehingga menyebabkan dua anaknya terjaga. Jeritan itu turut menarik perhatian suaminya yang berada di bilik lain sebelum bergegas datang.
“Kehadiran suami mangsa menyebabkan suspek melarikan diri melalui bahagian dapur,” katanya sambil mengesahkan laporan polis dibuat oleh suami mangsa berusia lingkungan 40-an.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 506 kerana melakukan ugutan.
Pemeriksaan latar belakang mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menceroboh kediaman orang lain dan melakukan perbuatan yang menggugat keselamatan masyarakat,” tegas Jasmin.