Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen menetapkan 9 April tahun ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan lanjut melibatkan seorang suami yang didakwa bersubahat dengan rakannya memasukkan jari ke dalam kemaluan isterinya.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menetapkan tarikh itu bagi lelaki berumur 35 tahun yang bekerja sendiri itu dan rakannya, Mohd Shahir Ibrahim, 32, ketika kes mereka disebut untuk pengurusan kes bagi penyerahan dokumen berkaitan.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua dokumen sudah tersedia untuk diserahkan kecuali laporan perubatan dan memohon tarikh pengurusan kes selanjutnya.
Lelaki terbabit didakwa bersubahat dengan Mohd Shahir melakukan kesalahan itu terhadap wanita berusia 38 tahun didakwa di ruang tamu sebuah rumah di Tuaran pada 23 Januari tahun ini kira-kira jam 5.45 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 377CA Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohd Shahir didakwa memasukkan jarinya ke dalam kemaluan wanita berkenaan di tempat dan masa yang sama.
Semasa prosiding, kedua-dua lelaki itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka tiada apa-apa untuk diperkatakan.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis mewakili pihak pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pada 4 Februari lalu tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua mereka direman lanjut sementara menunggu pelupusan kes.