KENINGAU: Pasukan pelajar dari Kolej Vokasional Keningau (KVC) Sabah berjaya merangkul tempat kedua dalam Pertandingan Tarik Tali Terbuka Antarabangsa Limbang yang berlangsung di padang Kompleks Sukan Limbang, Sarawak bulan lalu.
Pasukan KVC membawa pulang wang tunai RM3,000 bersama sijil dan trofi. Mereka bersaing dalam kategori Bawah 23 Tahun yang menghimpunkan 12 pasukan daripada keseluruhan 54 penyertaan dari seluruh Malaysia dan Brunei.
Sementara itu, dua pasukan dari Brunei, Bantaiyan Junior dan pasukan KJ , masing-masing muncul juara dan tempat ketiga dalam kategori Bawah 23 tahun, membawa pulang RM5,000 dan RM2,000.
Pasukan KVC terdiri daripada 10 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun iaitu Ahmad Mu’ammar Amin Amirkarn, Haiqal, Abdul Afkar Sulaim Yunus, Beniko Devis John, Ferdi Lasung Suzandi, Nick Syam, Langub Peter, Azizul Hisyam Mohammad Latif, Muhammad Adnan Kael Fitri Kahar dan Darren Allai.
Walaupun tewas tipis kepada pasukan Brunei di peringkat akhir, pasukan Sabah itu bertekad kembali lebih kuat dalam pertandingan akan datang.
Pertandingan Tarik Tali Antarabangsa terbabit dianjurkan oleh Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang. Kejohanan dibahagikan kepada tiga kategori: Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Bawah 23 tahun.
Menurut Pengurus Pasuka Nirwana Japili, yang juga guru di KVC, mereka merupakan peserta paling muda dan ini adalah penampilan pertama dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.
Katanya, pasukan itu, yang dilatih oleh jurulatih pakar Norman Chan Yuen Fong, sebelum ini pernah menjuarai pertandingan tarik tali di Kuala Lumpur pada Ogos 2025 serta di Kota Kinabalu dan Keningau pada 2024.
Pengarah kolej, Lumang anak Lang, menyatakan keyakinan terhadap kemampuan pasukan itu memuji disiplin tinggi dan semangat tidak berputus asa yang ditonjolkan sepanjang latihan dan pertandingan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pelajar serta penghargaan khusus kepada pengurus dan jurulatih atas dedikasi mereka.
“Saya percaya pasukan kolej kita akan mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.