Kota Kinabalu: Prosiding penghinaan mahkamah melibatkan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditetapkan semula untuk sebutan pada 18 Disember.
Kes itu pada asalnya dijadual didengar pada Isnin di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Ia turut membabitkan Che Muna Din atau Mona Din yang berdepan pertuduhan sama.
Penangguhan tersebut dibuat susulan permohonan menerusi surat daripada peguam Shafie bertarikh 21 November. Kedua-dua kes berkenaan akan disebut pada tarikh yang sama.
Pada 4 November dilaporkan bahawa permohonan komital untuk prosiding menghina mahkamah terhadap Shafie dan Mona dijangka didengar Isnin.
Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC) selaras dengan kebenaran yang diberikan mahkamah pada 23 Oktober dokumen prosiding komital telah diserahkan kepada Shafie pada petang 3 November di Tawau manakala Mona menerimanya pada 1 November di kediamannya di Shah Alam.
Kedua-dua responden dikehendaki menjawab pernyataan berkenaan mengikut Kaedah 52 Perintah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 serta memfailkan afidavit sokongan dalam tempoh 14 hari.
Pada 23 Oktober Amir membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap kedua-duanya selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan.