Kota Kinabalu: Presiden Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah (Agaras) Micheal Frederik mengecam kenyataan bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim yang mencadangkan Kerajaan Persekutuan membatalkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain mendakwa Putrajaya akan muflis jika diarah melunaskan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Micheal berkata mahkamah baru-baru ini membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
“Mahkamah mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar pemberian khas itu dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan pada 7 November.
“Selain itu mahkamah turut membatalkan sebahagian keputusan dalam tiga Warta Persekutuan bertarikh 20 April 2022, 24 Disember 2023 dan 27 Ogos 2025 kerana didapati bercanggah dengan kedudukan perlembagaan berhubung pemberian khas Sabah.
“Isu tuntutan 40 peratus bukan perkara baharu dan peruntukan mengenai pemberian khas itu termaktub dengan jelas dalam Jadual Kesepuluh, Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan ini memperincikan bahawa Sabah berhak menerima geran khas bersamaan dua perlima daripada hasil bersih yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan daripada negeri—bermakna tuntutan 40 peratus memang terang dan hadir dalam Perlembagaan.
“Isu hak Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus tidak sepatutnya dipertikaikan kerana ia jelas termaktub dalam undang-undang tertinggi negara,” katanya.
Sementara itu beliau menggesa Kerajaan Persekutuan supaya melaksanakan tuntutan Sabah tanpa melengahkan proses memandangkan isu berkenaan telah berlanjutan lebih lima dekad sejak pembentukan Malaysia.
Micheal juga menasihatkan Zaid supaya tidak mendakwa bercakap mewakili Kerajaan Persekutuan dan menuntut bekas menteri itu mengkaji semula sejarah pembentukan Malaysia, peruntukan MA63 dan teks Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat kenyataan awam.