TAWAU: Kesanggupan pemimpin-pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meninggalkan parti terdahulu seperti Umno - Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PRBM) didorong atas faktor kesedaran untuk mewujudkan pentadbiran sebuah kerajaan berteraskan acuan Sabah.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan asas sebenar penubuhan GRS adalah menjaga kepentingan Sabah dan rakyat bukanya kerana demi menyelamatkan karier politik pemimpin tertentu seperti yang didakwa pemimpin parti lain.
“Asas perjuangan GRS adalah untuk menjaga ‘rumah’ kita sendiri supaya benar-benar terjaga, terpelihara dan tidak lagi seperti yang sudah-sudah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Persatuan Pandu Puteri Malaysia (Pandu Puteri) Cawangan Sabah Daerah Tawau pada Ahad.
Sebagai salah seorang pengasas GRS Nizam berkata mereka sebenarnya berjuang menerusi platform terbabit atas kesedaran pentingnya sebagai rakyat Sabah tampil memperjuangkan hak dan keperluan yang membawa lebih banyak manfaat berimpak untuk rakyat secara keseluruhanya.
Ketua GRS Zon 12 itu juga menegaskan pemimpin-pemimpin GRS turut menyedari tanggungjawab mereka untuk menerapkan semangat ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ dengan didasari oleh semangat Sabah Tanahairku demi memastikan hak-hak Sabah dihormati.
“Sebab itu juga kita lihat ramai pemimpin dari luar sana (kem parti lain) yang berkenan atau berminat untuk berjuang bersama-sama sehingga menyertai platform GRS kerana kita mahu memastikan nasib Sabah benar-benar terbela,” katanya.
Ditanya keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick meletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) pula beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH Pusat.
Menyentuh pembukaan Rumah Pandu Puteri Daerah Tawau Nizam memuji semangat dan tekad kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) itu yang disifatkanya tidak berputus asa dan selalu mencari pelbagai inisiatif demi mencapai impian mereka sejak sekian lama.
“Kerja keras dan usaha tanpa berputus asa mereka boleh dijadikan contoh oleh semua NGO jika mahu mempunyai sebuah organisasi yang dapat bergerak maju sekali pun berdepan pelbagai halangan dan cabaran.
“Kita memerlukan ahli-ahli sebegini yang sentiasa komited di dalam perjuangan demi melonjakan nama sesebuah organisasi yang disertai seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Pandu Puteri,” tambahnya.
Menurutnya sumbangan pemimpin-pemimpin tempatan termasuk para bekas wakil rakyat terdahulu di kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan yang turut menghulurkan bantuan ke arah merealisasikan impian Pandu Puteri Tawau itu juga wajar dikenang dan dipuji.
Beliau turut berharap Pandu Puteri sebagai salah satu NGO berpengaruh akan terus berperanan aktif dalam proses kemenjadian wanita khususnya pelajar sebagai warga yang bertanggungjawab, bersemangat waja, berintegriti tinggi dan sedia menyumbang kepada kecemerlangan negara.
Rumah Pandu Puteri Daerah Tawau yang menerima sumbangan dari pelbagai pihak termasuk Pandu Puteri Pusat dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM156,000 hasil kutipan dana terkumpul dari 2005 sehingga 2023 di atas tapak yang diwartakan untuk mereka sejak tahun 1966 lagi di Jalan Mawar Tawau.