Kota Kinabalu: Golongan belia mesti diberi peluang dan ruang untuk menentukan masa depan Sabah yang baharu kata Timbalan Ketua Pemuda PBS Pusat Louis Lai.
Lai berkata bagi membentuk masa depan baharu Sabah belia perlu menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan.
“Kita tidak seharusnya hanya menuding jari kepada orang lain. Belia perlu diberi peluang dan kepercayaan.
“Namun harus diingat ruang dan kepercayaan itu tidak datang secara percuma.
“Kita sendiri sebagai golongan muda mesti membuktikan bahawa kita layak untuk diberi kepercayaan bagi membina masa depan Sabah yang baharu.
“Saya tahu ramai anak muda kini aktif mengejar populariti. Hanya dengan memuat naik satu video seseorang boleh menjadi ‘influencer’ sekelip mata. Tetapi populariti sebegitu hanyalah sementara dan tidak akan kekal lama sedangkan prinsip hidup yang betul akan bertahan sepanjang hayat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Forum Belia Pra-Pilihan Raya Bah Bincang Kita yang dianjurkan bersama oleh Community Empowerment Initiative Sabah, Gerakan Anak Sabah, Hai Mandak, Sabah Youth Movement, Seen, Spade dan The Sip Sip Show pada Sabtu.
Forum itu dihadiri pemimpin belia daripada sepuluh parti politik iaitu DAP, GRS, PKR, PBS, Muda, PIS, SAPP, Star, Upko dan Warisan.
Menurut Lai pembaharuan perlu dilakukan bagi memastikan kesinambungan perjuangan terdahulu.
“Ramai beranggapan pembaharuan bermaksud menyingkirkan yang lama tetapi bagi saya pembaharuan ialah memberi nafas baharu kepada perjuangan yang sudah sedia ada.
“Saya tahu anak muda bukan tidak peduli cuma kurang bertindak,” katanya.
Mengulas kenyataan bahawa ramai belia Sabah kini bosan dengan politik perkauman dan keagamaan Lai berkata golongan muda ialah jambatan serta benteng kepada unsur perkauman yang boleh mengancam keharmonian.
“PBS lahir daripada perpaduan pelbagai kaum dan agama. Inilah inti pati perjuangan PBS. Dalam konteks ini belia mesti menjadi perisai terhadap unsur negatif yang boleh memusnahkan keharmonian.
“Malah di Sabah kita hidup dalam suasana aman dan harmoni tanpa mengira bangsa, etnik atau agama. Kita boleh duduk minum bersama dengan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang,” katanya.