MENUMBOK: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerlukan mandat baharu untuk membolehkan kerajaan meneruskan program pembangunan yang dirancang dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mandat baharu melalui pilihan raya umum negeri Sabah Ke-17 (PU17) itu penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri yang lebih rancak di bawah SMJ 2.0.
Katanya, SMJ 1.0 yang bermula pada 2021 merekodkan pencapaian membanggakan dari segi pelaksanaan pelbagai inisiatif digariskan oleh kerajaan yang hasilnya sudah kelihatan dan dinikmati rakyat.
“Berikan kami mandat baharu dan kami akan meneruskan pembangunan lebih rancak di bawah Hala Tuju SMJ 2.0 untuk Sabah.
“Fasa pertama Hala Tuju SMJ 1.0 tahun 2021-2025 telah berjaya dilaksanakan, namun lebih banyak akan dilaksanakan untuk kesinambungan pembangunan negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035 di Pekan Menumbok, di sini, Khamis.
Terdahulu, Hajiji turut menyempurnakan Penyerahan Kunci Rumah (SMJ), perasmian Masjid Nur Ihsan Daerah Menumbok, Penyerahan Warta Tanah dan Penyampaian Bantuan Yayasan Pendidikan Limus Jury di majlis itu.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan retorik atau ucapan pemimpin parti lawan yang sering menghentam dengan pelbagai tuduhan tidak berasas, termasuk mendakwa kerajaan GRS gagal.
Sebaliknya, beliau meminta rakyat Sabah melihat kejayaan dilakar GRS sepanjang tempoh pentadbirannya dalam memulihkan ekonomi selepas pandemik Covid-19 dan berdepan ketidakstabilan politik sejak mula mengambil alih kerajaan lima tahun lalu.
“Atas sebab itu, tiada alasan untuk tidak memilih GRS sekali lagi pada PU17 kerana banyak yang sudah dicapai serta dinikmati dan perlu diteruskan demi kebaikan berterusan rakyat dan Sabah.
“Rugi jika rakyat tidak pilih kerajaan GRS sekali lagi. Kita beri tumpuan bantu rakyat kita, sedangkan yang lain hanya pandai cakap bohong, fitnah dan pandai janji bermacam-macam tapi tiada hasilnya, itu kerja mereka (parti lawan).
“Jadi jangan kita terpengaruh dengan mereka. Mereka sudah diberi peluang yang lama dalam kerajaan terdahulu, malah pernah menjadi menteri bertahun-tahun, tapi apa yang mereka buat.
“Sekarang cakap kerajaan GRS gagal. Apa yang gagal? Masalah kita sekarang diwarisi daripada mereka. Apa mereka buat ketika jadi Menteri Luar Bandar, air tidak selesai, elektrik, jalan luar bandar tidak selesai, kenapa salahkan kerajaan hari ini pula,” katanya.
Hajiji turut mengulangi pencapaian kerajaan pimpinannya yang tidak pernah dilakar kerajaan terdahulu, antaranya kemasukan ramai pelabur dalam dan luar negara hasil pendekatan mesra pelabur dilaksanakan kerajaan GRS.
Katanya, puluhan syarikat tempatan dan luar negara datang melabur dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan di Sabah yang bukan saja dapat melonjak ekonomi, malah membuka banyak peluang pekerjaan.
“Kita juga bantu rakyat susah di kampung sebab apabila kita dapat kutip hasil yang banyak kita kembalikan kepada rakyat dan tahun ini kira-kira 100,000 rakyat miskin dapat bantuan RM300 sebulan.
“Melalui Jabatan Kebajikan, kita bantu 70,000 orang termasuk orang kelainan upaya (OKU) dan orang tua untuk bantuan bulanan, sebelum ini hanya 30,000 orang.
“Tidak cukup itu, kita bagi Rumah Mesra SMJ, tahun ini saja kita bagi 40 rumah SMJ dan tahun depan tambah lagi jadi 50, termasuk 10 untuk orang muda baru kahwin yang tidak mampu dan tinggal bersama ibu bapa dalam satu rumah, ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, sektor pendidikan juga diberi keutamaan dengan memberikan peruntukan besar dengan perbelanjaan mencecah RM1.3 bilion sejak lima tahun lalu khususnya untuk membantu pelajar menerusi program biasiswa dan pelbagai bantuan lain.
Hajiji berkata, Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025–2035 adalah dokumen penting yang disusun seiring dengan agenda Hala Tuju SMJ, agar pembangunan yang seimbang dapat dinikmati oleh rakyat di kedua-dua daerah itu.
Sempena lawatannya, Hajiji turut merasmikan Masjid Nur Ihsan Daerah Menumbok yang siap sepenuhnya pada 27 Mac lalu dengan peruntukan RM3.26 juta melalui Jabatan Perdana Menteri (ICU).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Pendidikan Limus Jury yang telah membantu seramai 5,350 pelajar di Kuala Penyu dan Menumbok melalui pelbagai bentuk bantuan pendidikan.
Dalam majlis itu, Hajiji turut menyerahkan tiga warta tanah kediaman anak negeri di bawah Seksyen 78, melibatkan Kampung Mansud seluar 6.268 hektar, Kampung Purun (13.740 hektar) dan Kampung Tanjung Aru (24.339 hektar).