TAMPARULI: Tiga sekeluarga cedera dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Minangkob, Jalan Tamparuli-Ranau, di sini, awal pagi, Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran Kurong Ak Beki berkata jabatan itu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.38 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dikerah ke lokasi kejadian sejauh 31 kilometer (km) berserta satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Apabila tiba pada jam 3.04 pagi, pasukan mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya dan segera memadam api.
“Kebakaran itu menyebabkan seorang wanita berusia 54 tahun cedera ketika menyelamatkan diri, seorang lelaki berusia 36 tahun mengalami serangan asma dan seorang kanak-kanak perempuan melecur pada bahagian kaki,” katanya dihubungi.
Dalam kejadian itu, kebakaran turut memusnahkan kereta Toyota Vios dan Perodua Viva sepenuhnya manakala kereta Proton Persona mengalami kerosakan kira-kira 25 peratus pada bahagian belakang akibat bahang api.
Kesemua mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan bomba di lokasi sebelum salah seorang mangsa dihantar ke Hospital Tuaran.
Dua lagi mangsa turut dibawa oleh EMRS ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 121 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 pagi kemudian manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.