TAMBUNAN: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Tontolob di sini.
Michelle Sabile
(gambar), pelajar SMK Tambunan yang dilahirkan pada 10 Ogos 2010, kali terakhir dilihat meninggalkan rumahnya pada 31 Mei lalu dengan memakai baju hitam dan seluar jeans biru.
Menurut keluarga, Michelle meminta izin untuk keluar bersama rakan-rakan dan memaklumkan akan pulang selepas itu. Namun, sehingga kini remaja itu masih belum kembali manakala alasan yang diberikan sebelum keluar dipercayai tidak benar.
Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan. Komunikasi terakhir dengannya dipercayai berlaku menerusi aplikasi Instagram pada Sabtu lalu dan dia dipercayai berada di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.
Keluarga merayu bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Michelle supaya menghubungi Beth di +60 11-6923 1128 atau Debora di +60 16-775 508 atau menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.