KOTA MARUDU: Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dan Teknologi Pertanian Malaysia Barat (EMAT) akan menjalinkan kerjasama bagi memperkasakan industri penanaman jagung bijirin secara komersial di kawasan seluas 300 ekar di Terusan Sapi, Telupid.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi), Datuk Jamawi Jaafar, berkata pihaknya mencadangkan projek yang pernah diusahakan pada 2024 itu diteruskan semula menerusi kerjasama berkenaan dengan peruntukan RM2 juta di bawah kementeriannya.
Menurutnya, kepakaran EMAT yang menggunakan teknologi agro moden diperlukan bagi menjayakan projek itu susulan kejayaan syarikat berkenaan melaksanakan projek sama bersama Koperasi Tanjung Keramat Berhad (KTKB) di Kampung Masalog, di sini, sejak tiga tahun lalu.
Pada masa sama, katanya, kerjasama antara KPD dan EMAT mampu memperkukuh sekuriti makanan, mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan serta memperkasakan sektor pertanian moden di Sabah melalui teknologi agro dari Afrika Selatan yang digunakan EMAT.
“Kita bercadang membuka sepenuhnya 300 hektar di Terusan Sapi menerusi kerjasama ini dan kawasan terlibat bukan membabitkan tanaman padi, sebaliknya tanah yang kurang memerlukan sistem pengairan dan lebih sesuai untuk jagung bijirin.
“Kita juga masih mempunyai baki peruntukan sekitar RM2 juta yang akan digunakan untuk membangunkan kawasan ini dan saya yakin usaha sama antara KPD dan EMAT mampu mengurangkan kebergantungan kepada komoditi import,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi ke Ladang Penanaman Jagung Bijirin EMAT dan KTKB di sini, Selasa lepas.
Mengulas lanjut, Jamawi berkata KPD dan EMAT telah mengadakan beberapa siri perbincangan berkaitan kerjasama strategik itu dan secara prinsip pihaknya bersetuju memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dimeterai seawal Jun ini.
Pada masa sama, katanya, kerjasama itu dijangka memberi manfaat langsung kepada KPD yang kini turut terbabit dalam industri penternakan ayam pedaging dengan pengeluaran sehingga 200,000 ekor ayam sebulan.
Katanya, pembangunan tanaman jagung bijirin secara komersial itu mampu membantu mengurangkan kos makanan ternakan.
“Secara prinsip, kita bersetuju KPD bekerjasama dengan EMAT kerana kita sudah melihat sendiri kejayaan mereka membangunkan kawasan seluas 50 hektar di Kota Marudu.
“Mereka bukan saja berjaya menghasilkan pengeluaran jagung bijirin yang lebih tinggi, malah memiliki kelengkapan mesin dan teknologi lengkap yang boleh diaplikasikan di Terusan Sapi.
“Jika kerjasama ini berjaya, ia dapat mengurangkan kos makanan ternakan dan seterusnya meningkatkan keuntungan KPD kerana tahun lalu sahaja KPD merekodkan jualan sekitar RM106 juta.
“Saya yakin KPD mampu melaksanakan amanah ini dan seterusnya menjadi antara pengeluar utama makanan ternakan berasaskan jagung bijirin di Sabah,” katanya.
Bercakap mengenai lawatannya ke projek ladang penanaman jagung bijirin EMAT, Jamawi berkata teknologi yang dibawa syarikat itu bagi musim pertama penanaman di kawasan seluas 50 hektar di Kampung Masalog menunjukkan hasil tuaian memberangsangkan apabila mencapai sehingga sembilan tan sehektar.
Menurutnya, projek itu kini memasuki musim kedua dan hasil tuaian akan datang dijangka meningkat dengan ketara susulan penggunaan teknologi serta peralatan agro moden oleh EMAT.
Katanya, pendekatan itu diyakini mampu membantu meningkatkan produktiviti, memacu ekonomi Sabah, mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkasakan petani tempatan.
“Potensi sebenar tanaman jagung bijirin boleh mencapai antara lapan hingga sembilan tan sehektar sekiranya amalan pertanian baik dilaksanakan sepenuhnya.
Berdasarkan data Jabatan Pertanian, potensi hasil boleh mencecah sembilan tan sehektar jika pengurusan tanaman dilakukan dengan baik.
“Dengan harga pasaran semasa sekitar RM1,400 satu tan dan kos pengeluaran melalui mekanisasi sekitar RM800 satu tan, tanaman jagung ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara komersial,” katanya.
Jamawi berkata ketika ini Sabah masih bergantung kepada import jagung bijirin untuk makanan ternakan dengan nilai import mencecah kira-kira RM800 juta setahun.
Katanya, tahap pengeluaran sendiri atau Self-Sufficiency Level (SSL) negeri bagi komoditi itu ketika ini hanya sekitar dua peratus.
“Sabah hanya mengeluarkan sekitar dua peratus daripada keperluan makanan ternakan ayam dan haiwan lain.
“Justeru, kementerian menyediakan peruntukan insentif RM5 juta tahun ini kepada pengusaha yang berminat mengusahakan tanaman jagung selain bantuan khidmat nasihat serta kepakaran daripada Jabatan Pertanian,” katanya.