RANAU: Usaha memperkukuh pembangunan modal insan dalam kalangan belia Sabah kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri dengan penekanan terhadap peluasan akses dan peluang pendidikan, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
Masidi berkata pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan, termasuk penyediaan bantuan pendidikan dan biasiswa, sokongan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan serta usaha memperluas akses pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
Advertisement

“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan setiap anak Sabah mempunyai peluang yang adil untuk berjaya tanpa mengira latar belakang,” katanya sempena Festival
Akademik Tingkatan Enam dan Program Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) 2026 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, di sini.
Masidi berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Politik beliau, Johari Suhaimin.
Masidi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Karanaan, menegaskan kejayaan inisiatif berkenaan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan institusi pendidikan, penglibatan aktif mahasiswa serta komitmen tinggi pelajar sendiri.
Beliau berkata pendekatan bersepadu dalam kalangan semua pihak berkepentingan penting bagi memastikan setiap peluang yang disediakan sampai kepada kumpulan sasar dan memberi impak berterusan.
“Program seperti ini adalah contoh kerjasama berkesan semua pihak, khususnya dalam merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan komuniti setempat,” katanya.
Masidi turut menekankan kepentingan fasa Tingkatan Enam sebagai asas penting dalam membentuk masa depan pelajar, bukan sekadar persediaan peperiksaan, tetapi sebagai medan membina pemikiran kritis, disiplin dan hala tuju hidup.
“Dalam tempoh ini, keupayaan membuat keputusan, mengurus masa dan menetapkan matlamat hidup dibentuk secara lebih tersusun. Pelajar juga mula mengenali kekuatan dan kelemahan diri serta berusaha menambah baik secara berterusan,” katanya.
Beliau menggalakkan pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang program itu bagi mendapatkan pendedahan mengenai laluan selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), termasuk pilihan pendidikan tinggi dan peluang biasiswa.
Katanya, pelajar tidak harus teragak-agak untuk bertanya, mencuba pengalaman baharu dan meneroka peluang yang ada kerana setiap pengalaman akan membantu mereka membuat keputusan lebih tepat pada masa hadapan.
“Keputusan yang dibuat dalam tempoh ini akan memberi kesan kepada langkah seterusnya dalam kehidupan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Masidi merakamkan penghargaan kepada penganjur, Persatuan Mahasiswa Sabah Universiti Kebangsaan Malaysia (Permis), serta pelajar yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program berkenaan.
Masidi berkata penglibatan dalam aktiviti berasaskan komuniti amat bernilai kerana bukan sahaja menyumbang kepada masyarakat, malah membantu membangunkan kemahiran insaniah penting.
“Pengalaman seperti ini membina kepimpinan, komunikasi dan empati dalam kalangan pelajar, sekali gus melahirkan generasi masa depan yang lebih seimbang,” katanya.
Turut hadir pegawai Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah Nor Bijaya Timala Maskor, pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kota Kinabalu Hasslin Talil, Presiden Permis sesi 2025/2026 Debora Sylvia Devid serta Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Mat Salleh Agnes Godtol.