NABAWAN: Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun berkata daerah Nabawan kini menerima limpahan pembangunan infrastruktur yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat.
Namun orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.
Jauteh berkata, pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal perlu memakai topi keledar bagi menjamin keselamatan ketika berada di jalan raya.
Menurutnya, perkembangan liputan komunikasi yang semakin meluas di daerah itu juga membawa cabaran tersendiri kepada masyarakat terutama golongan muda dan pelajar.
Katanya, kemudahan capaian komunikasi dan internet yang lebih baik mungkin memberi kejutan kepada masyarakat kerana ia boleh mengubah gaya hidup termasuk amalan tidur lewat akibat terlalu lama melayari pelbagai siaran dan kandungan dalam talian.
“Perkara ini boleh memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat terutama golongan muda sekiranya tidak dikawal dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Kepolisan Komuniti di Daerah Nabawan pada Ahad.
Terdahulu dalam ucapannya, Jauteh turut menggesa pemimpin masyarakat agar bekerjasama dengan polis serta agensi kerajaan berkaitan dalam menyelesaikan isu-isu melibatkan adat istiadat termasuk perkahwinan bawah umur.
Katanya, perkara itu memerlukan kerjasama erat antara pemimpin adat, pihak polis dan hospital bagi memastikan setiap kes dapat ditangani mengikut prosedur yang ditetapkan.
Menurutnya, dokumen yang dikeluarkan oleh ketua adat sebagai bukti perkahwinan amat penting dalam urusan berkaitan.
Dalam pada itu, Jauteh turut menyeru pemimpin masyarakat supaya sentiasa mengawasi kehadiran orang asing di kampung masing-masing terutama di kawasan berhampiran sempadan negara jiran.
Katanya, tidak dapat dinafikan terdapat penduduk kampung di kawasan sempadan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penduduk negara jiran, namun peranan ketua kampung amat penting bagi memastikan tiada penyalahgunaan sokongan untuk mendapatkan dokumen kewarganegaraan Malaysia.
Katanya, tindakan sedemikian dikhuatiri boleh memberi ancaman terhadap keselamatan masyarakat pada masa hadapan.
Sementara itu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup menegaskan bahawa kerjasama antara pihak polis dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara.
Beliau berkata daerah Nabawan yang mempunyai kawasan sangat luas dengan kedudukan kampung yang berselerak menjadi antara cabaran utama kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan pemantauan keselamatan secara menyeluruh.
Menurutnya, keadaan itu memerlukan kerjasama erat daripada pemimpin masyarakat untuk membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Pemimpin masyarakat seperti ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara polis dan masyarakat,” katanya.
Arthur berkata, peranan pemimpin masyarakat amat diperlukan bagi memastikan sebarang isu keselamatan, masalah sosial atau kehadiran unsur-unsur mencurigakan dapat disalurkan dengan cepat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Beliau turut mengakui keluasan kawasan Nabawan menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa dalam usaha menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah itu.
Sehubungan itu, beliau berharap hubungan kerjasama antara masyarakat dan pihak polis akan terus diperkukuhkan demi memastikan keamanan dan keharmonian kawasan berkenaan sentiasa terpelihara.
Hadir sama Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Pegawai Daerah Nabawan Ts Marshal Anthony @ Idham, Pegawai-Pegawai Kanan PDRM dan pemimpin-pemimpin masyarakat.