NABAWAN: Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Daerah Nabawan sempena Program Kepolisan Komuniti yang berlangsung pada 23 hingga 24 Mei.
Ketibaan Mohd Khalid yang diiringi oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun itu disambut oleh Pegawai Daerah Nabawan Ts Marshal Anthony @ Idham dan semua warga Pejabat Daerah Nabawan.
Turut menyambut ketibaan rombongan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.
Kunjungan hormat itu berkait rapat dengan Program Kepolisan Komuniti bertujuan memperkukuhkan hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat.
Program berkenaan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kerjasama komuniti dalam aspek keselamatan, pencegahan jenayah serta mempererat hubungan antara penduduk dan pihak berkuasa.
Dalam kunjungan itu, Mohd Khalid turut berpeluang bertemu pemimpin masyarakat dan penduduk setempat bagi mendengar pandangan serta isu berkaitan keselamatan di daerah Nabawan.
Sementara itu, Ghani menyambut baik pelaksanaan Program Kepolisan Komuniti itu dan berharap kerjasama erat antara polis dan masyarakat terus diperkukuhkan demi kesejahteraan penduduk di kawasan pedalaman.
Pada hari yang sama, Mohd Khalid meninjau tapak pembinaan Ibu Polis Daerah Nabawan dan menemui ketua-ketua adat dan pemimpin-pemimpin masyarakat daerah Nabawan.