Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir berada dalam keadaan sangat tertekan serta tidak dapat menerima pemergian anaknya ketika berada di hospital.
Saksi ke-72 Abu Bakar Lamat yang juga bapa saudara kepada Zara berkata adiknya Noraidah Lamat berada dalam keadaan pilu dan menangis sambil berdoa agar anaknya itu kembali sedar dan bercakap seperti biasa.
“Saya melihat Noraidah trauma dan terlalu sedih atas kematian mengejut Zara,” katanya dalam keterangan saksi pada Rabu.
Menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Abu berkata beliau mempunyai tiga beradik termasuk Noraidah.
Menggambarkan sifat adiknya, beliau berkata Noraidah seorang yang bertanggungjawab dan penyayang, serta sering membantu ahli keluarga termasuk dari segi kewangan dan pendidikan apabila diperlukan.
Beliau turut berkata Noraidah sentiasa berhubung dengan keluarga dan mengambil berat terhadap kesejahteraan mereka serta anak-anak.
Advertisement

Abu juga memberi keterangan bahawa hubungan antara Zara dan ibunya sangat rapat sejak kecil.
“Zara kelihatan sangat selesa dengan ibunya dan hubungan mereka sangat rapat bukan sahaja sebagai ibu dan anak tetapi juga seperti sahabat baik. Zara sering berkongsi cerita dan masalah dengan ibunya.
“Saya tidak pernah melihat sebarang pertengkaran serius antara mereka dan saya juga tidak pernah melihat Zara takut, membenci atau menjauhkan diri daripada ibunya.
“Noraidah sentiasa menasihati dan membimbing Zara dengan penuh kasih sayang. Apa sahaja yang Zara perlukan, ibunya akan cuba penuhi. Zara juga adalah anak tunggal yang tinggal bersamanya.
“Saya juga tidak pernah melihat Noraidah mengabaikan Zara atau melayannya dengan tidak baik,” katanya.
Dalam prosiding itu peguam Shahlan turut memainkan beberapa rakaman audio perbualan antara Zara dan ibunya.
Rakaman tersebut menunjukkan Zara kerap menghubungi ibunya ketika berada di asrama pada bila-bila masa serta sentiasa memaklumkan aktiviti harian, rakan-rakan dan peperiksaan.
Audio itu turut menunjukkan hubungan rapat antara mereka apabila kedua-duanya saling bertanya khabar dan berkongsi cerita termasuk perbualan mengenai kakitangan KFC.
Abu yang merupakan bekas anggota tentera menafikan dakwaan netizen bahawa beliau tidak mengetahui hubungan sebenar antara Zara dan ibunya kerana tinggal di Kuala Lumpur.
“Mereka di luar sana tidak tahu bahawa saya kerap pulang ke Sabah untuk melawat Noraidah kerana dia satu-satunya adik perempuan saya. Setiap tahun saya balik ke kampung.
“Apabila keputusan bedah siasat Zara dikeluarkan, saya kembali ke Sabah dan ketika pengebumian semula jenazahnya saya sendiri meletakkan jasadnya ke dalam kubur,” katanya.