KOTA MARUDU: Seorang remaja lelaki orang kelainan upaya (OKU) rentung, manakala abangnya melecur hampir seluruh badan selepas cuba menyelamatkannya dalam kebakaran di Kampung Torintidon, di sini, awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Lorex Sindam, 16, ditemukan rentung di dalam rumah, manakala abangnya, 28, cedera parah akibat melecur hampir keseluruhan badan.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Supt Simiun Lomudin berkata siasatan awal mendapati rumah berkenaan didiami empat sekeluarga iaitu suami isteri serta dua anak lelaki mereka ketika kejadian.
Beliau berkata, kira-kira jam 2 pagi, bapa mangsa menyedari terdapat percikan api pada bahagian peti meter elektrik rumah sebelum api tiba-tiba marak dan merebak ke ruang tamu.
“Bapa mangsa kemudian mengejutkan dua anak lelakinya yang sedang tidur di bilik dan berusaha mengopek lantai dapur bagi membuka laluan untuk menyelamatkan diri bersama ahli keluarga lain kerana api ketika itu telah marak di seluruh rumah.
“Bagaimanapun, mangsa gagal menyelamatkan diri kerana mengalami kesukaran bergerak disebabkan faktor saiz badan, selain menghidap sindrom Down dan autisme, menyebabkannya terperangkap.
“Abang mangsa cuba menyelamatkan adiknya namun gagal. Tindakannya itu menyebabkan hampir seluruh badannya melecur,” katanya dalam kenyataan.
Simiun berkata abang mangsa akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Debli Mamoi berkata seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dan sebuah kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi sejauh 22 kilometer sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3.23 pagi.
Bagaimanapun, beliau berkata jentera hanya dapat melalui perjalanan sejauh 14 kilometer sehingga berhampiran SK Lampada sebelum anggota meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan utiliti berikutan keadaan jalan tidak berturap ke kampung berkenaan.