RANAU: Seorang lelaki berusia 35 tahun yang dikehendaki polis kerana disyaki memukul dan mengugut bunuh seorang pemuda di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang pada 19 Mei lalu berjaya diberkas pada Jumaat.
Suspek dari Kampung Matupang itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.
Penahanan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau Mursalin Mahmud sebelum ini berkata mangsa berusia 19 tahun membuat laporan polis pada 21 Mei lalu.
“Kejadian berlaku tanpa provokasi jelas apabila suspek didakwa memarahi mangsa sebelum mengacukan buku lima berwarna emas, mengugut untuk membunuh serta bertindak menumbuk dan menendang mangsa berulang kali.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bibir selain sakit berpanjangan pada bahagian bahu kiri dan belakang badan,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Selain itu suspek turut akan ditahan bagi membantu siasatan tiga lagi kes lain yang masih dalam siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Semakan rekod turut mendapati suspek yang berasal dari Kampung Matupang dan Kampung Terikon itu pernah terbabit dalam kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pada 29 Oktober 2014 namun kes tersebut telah selesai.