Kota Kinabalu: Terminal Feri Jesselton Point kini tampil dengan wajah baharu sejajar statusnya sebagai kemudahan infrastruktur strategik yang bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan industri pelancongan Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Terminal Feri Jesselton Point merekodkan peningkatan trafik penumpang pada 2025 dengan 552,369 penumpang berbanding 388,395 penumpang pada tahun sebelumnya.
“Dalam konteks ini, Terminal Feri Jesselton Point memainkan peranan penting dalam memperkukuh penawaran pelancongan, khususnya dalam segmen pelancongan pulau dan marin yang merupakan antara produk teras pelancongan negeri, terutama di Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick semasa majlis perasmian terminal baharu Jesselton Point di sini, pada Isnin.
Ketua Menteri berkata, naik taraf terminal feri itu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa dan dipertingkatkan lagi menerusi integrasi sistem digital serta operasi fizikal yang lebih cekap, teratur dan berkesan.
“Pelaksanaan sistem tiket elektronik, pengurusan penumpang bersepadu dan penggunaan teknologi pintar dalam operasi harian mencerminkan peralihan ke arah konsep terminal yang lebih pintar, moden dan responsif,” katanya.
Advertisement

Beliau yakin terminal baharu itu mampu menampung peningkatan jumlah penumpang selaras pertambahan ketibaan pelancong yang mencecah 3.8 juta tahun lalu, meningkat lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjana hasil pelancongan sebanyak RM8.7 bilion.
“Selama lebih dua dekad, Terminal Feri Jesselton Point memainkan peranan penting sebagai pintu masuk utama ke pulau-pulau peranginan dalam Taman Tunku Abdul Rahman, khazanah semula jadi yang menjadi kebanggaan negeri serta tarikan utama pelancong domestik dan antarabangsa.
“Terminal ini bukan sahaja menyediakan kemudahan pengangkutan, malah menjadi mercu tanda penting bandar raya Kota Kinabalu, menghubungkan pengunjung ke gugusan pulau seperti Pulau Manukan, Pulau Gaya, Pulau Sapi dan Pulau Mamutik serta pulau sekitarnya, sekali gus mengukuhkan peranan bandar raya ini sebagai antara hab pelancongan maritim utama negara,” katanya.
“Saya yakin dengan terminal yang selesa ini, ia akan meningkatkan keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke pulau-pulau pelancongan sekitar ibu negeri.
“Ini secara langsung merangsang ekonomi tempatan, mewujudkan peluang perniagaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Usaha ini juga pastinya membantu mencapai sasaran lebih empat juta pelancong mengunjungi Sabah tahun ini,” katanya.
“Bersempena Tahun Melawat Malaysia tahun ini, pembangunan infrastruktur baharu Terminal Feri Jesselton Point dilihat akan terus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan maritim terkemuka di rantau Asean,” tambahnya.
Ketua Menteri berkata, pembangunan terminal itu selaras aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi, pemerkasaan ekonomi biru dan pelancongan lestari sebagai antara tonggak utama pembangunan negeri.
“Inisiatif ini adalah sebahagian strategi jangka panjang untuk terus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan maritim yang berdaya saing dan maju.
“Kerajaan negeri kekal komited memastikan pembangunan ini dilaksanakan secara bertanggungjawab, seiring pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti tempatan supaya kemajuan yang dicapai bersifat menyeluruh,” katanya.
Selain itu, Terminal Feri Jesselton Point turut terletak dalam pembangunan Jesselton Waterfront City bernilai RM9.2 bilion yang dijangka mengubah landskap pesisir Kota Kinabalu menjadi destinasi bertaraf dunia.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Suria Capital Holdings Berhad dan anak syarikatnya, Suria Bumiria Sdn Bhd atas komitmen serta dedikasi dalam merealisasikan projek terminal feri itu.
“Kejayaan hari ini mencerminkan pentingnya sinergi antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri,” katanya.