Kota Kinabalu: Ibu saudara Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner pada Selasa bahawa beliau tidak berniat menyalahkan mana-mana pihak berhubung insiden menimpa Zara sebaliknya hanya mahukan siasatan yang telus.
Deponen ke-71 Nur Shira Abdullah ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari berkata beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk sekolah dan polis namun mahu siasatan dijalankan secara telus.
Fairuz: “Adakah puan mahu mana-mana pihak tertentu seperti sekolah atau polis dipersalahkan?”
Nur Shira: “Tidak. Saya cuma mahukan siasatan yang telus.”
Fairuz: “Pada pandangan puan, adakah siasatan polis tidak telus?”
Nur Shira: “Ya. Biasanya apabila pegawai polis mengambil laporan daripada orang awam, mereka akan menulis sambil mendengar aduan, tetapi Pegawai Penyiasat (IO) tidak berbuat demikian.”
Advertisement

Fairuz: “Apakah contoh laporan yang tidak ditulis?”
Nur Shira: “Laporan mengenai pengetua yang menghalang ibu Zara membuat laporan polis. Saya memperoleh maklumat itu daripada Puan Noraidah.”
Fairuz: “Merujuk kenyataan puan bahawa IO cuai, adakah itu persepsi peribadi puan?”
Nur Shira: “Itu pendapat peribadi saya kerana saya memerhati tingkah laku IO yang saya anggap tidak profesional dalam menjalankan tugasnya.”
Fairuz: “Boleh jelaskan apa yang dimaksudkan dengan ‘tidak profesional’?”
Nur Shira: “Pertama, mengenai laporan aduan yang tidak ditulis, dia hanya mendengar dan selepas Noraidah bertanya barulah dia mula menulis. Kedua, bagi setiap soalan berkaitan perkembangan siasatan, IO sering meminta masa untuk menghubungi pegawai atasannya.”
Fairuz: “Tetapi pegawai itu akhirnya tetap mengambil laporan tersebut?”
Nur Shira: “Ya.”
Fairuz: “Dan puan tidak mengetahui beban tugas atau keadaan pegawai itu ketika itu?”
Nur Shira: “Bukan tanggungjawab saya untuk mengetahuinya.”
Fairuz: “Adakah puan pergi ke balai polis?”
Nur Shira: “Pada 20 Julai 2025 merupakan kali pertama kami pergi membuat laporan terhadap pengetua. Selepas itu saya pulang ke Kuala Lumpur dan urusan seterusnya dikendalikan antara Puan Noraidah dan IO.”
Fairuz: “Adakah kritikan puan terhadap IO dan sekolah dipengaruhi emosi susulan insiden itu?”
Nur Shira: “Tidak. Saya bukan mengkritik, saya cuma mahukan siasatan yang telus.”
Fairuz: “Adakah terdapat tindakan susulan selepas itu?”
Nur Shira: “Saya tidak pasti.”