SEMPORNA: Polis menahan seorang wanita bukan warganegara berumur 28 tahun berikutan penemuan seorang bayi lelaki di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Tan Hiap Wah berkata satu laporan polis diterima pada 12 Mei jam 8.16 pagi daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan seorang bayi lelaki dalam keadaan berbungkus kain di laluan pejalan kaki berhadapan sebuah rumah kosong di Kg Panji, dekat sini.
Advertisement
X500px(H).jpg)
“Bayi berkenaan dijumpai pada jam 7 pagi dan telah dibawa ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan dan rawatan.
“Bayi yang dianggarkan berusia dua bulan dan berat 3kg itu dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta masih dalam pemantauan pihak hospital,” katanya, menambah bayi itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (iaitu bapa atau ibu seorang kanak-kanak yang berumur kurang daripada 12 tahun, meninggalkan kanak-kanak itu dengan niat hendak membuang kanak-kanak). Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Munnesh A/L Jegathesuran di nombor 012-9922566 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.