Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka cadangan penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memperketatkan kawal selia penggunaan fleet card dalam penyaluran subsidi bahan api menerusi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bertujuan mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas, menyeluruh dan tersusun bagi pelaksanaan, pengawalseliaan serta penguatkuasaan penggunaan fleet card secara lebih tegas dan berkesan.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Menurutnya, peraturan baharu itu akan merangkumi aspek tanggungjawab pemegang fleet card dan syarikat minyak, selain memperincikan kesalahan serta hukuman terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan kemudahan berkenaan bagi tujuan penyelewengan subsidi.
“Kerajaan komited memastikan subsidi diesel dan petrol sampai kepada golongan dan sektor yang benar-benar layak, serta menutup sebarang ruang yang boleh dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Justeru, KPDN kini sedang merangka cadangan penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mewujudkan suatu kerangka perundangan yang lebih jelas, menyeluruh, teratur dan tegas bagi pelaksanaan, pengawalseliaan serta penguatkuasaan penggunaan fleet card,” katanya dalam sidang media sempena Program KBBM yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, di sini, Sabtu.
Mengulas lanjut Armizan berkata, tindakan itu diambil susulan pengesanan beberapa modus operandi yang melibatkan ketirisan dan penyelewengan diesel serta petrol bersubsidi melalui penyalahgunaan fleet card.
Advertisement

Menurutnya, sejak 2023 hingga 14 Mei 2026, sebanyak 223 fleet card di bawah pelaksanaan SKDS dan SKPS telah disekat selepas dikesan terbabit dalam aktiviti yang mencurigakan dan menyalahi syarat penggunaan.
“Jumlah ini membuktikan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada sistem subsidi yang diwujudkan untuk membantu rakyat dan sektor ekonomi yang layak.
“KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat lapangan, termasuk menjalankan pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan subsidi bahan api,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan fleet card bagi tujuan penyelewengan subsidi diesel dan petrol, akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
Katanya, usaha memperkukuh mekanisme kawalan dan penguatkuasaan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan tatakelola subsidi lebih cekap, telus dan berintegriti.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus menambah baik sistem sedia ada bagi memastikan setiap sen subsidi yang diperuntukkan dimanfaatkan oleh pihak yang benar-benar layak, sekaligus melindungi kepentingan rakyat dan kewangan negara.