Kota Kinabalu: Seorang pengurus dan seorang ahli farmasi berdaftar didenda keseluruhan RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menjual ubat beracun kepada seorang wanita tanpa preskripsi doktor serta gagal memastikan jualan runcit ubat berkenaan mematuhi undang-undang.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Mary Majinus, 47, dan ahli farmasi, Bui Kai Juin, 44, selepas kedua-duanya membuat pengakuan bersalah secara berasingan pada Rabu.
Advertisement

Mary didenda RM3,000 atau dua bulan penjara kerana menjual satu jalur ubat berlabel “Hovasc 10mg” yang mengandungi 10 biji tablet putih disyaki mengandungi Amlodipine iaitu bahan beracun di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952.
Kesalahan itu dilakukan pada 14 Februari 2024 di sebuah farmasi di Jalan Pantai.
Dia didapati melanggar Seksyen 21(1)(c) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13(b) akta sama memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu Bui Kai Juin diperintahkan membayar denda RM4,000 atau tiga bulan penjara kerana gagal memastikan jualan runcit bahan beracun dilakukan di bawah pengawasan peribadinya sehingga menyebabkan ubat berkenaan dijual tanpa preskripsi doktor.
Dalam rayuan hukuman kedua-dua tertuduh memohon supaya tidak dikenakan hukuman penjara kerana mempunyai tanggungan keluarga.
Mary memaklumkan kepada mahkamah bahawa suaminya mengalami strok dan dia merupakan pencari nafkah keluarga manakala Bui berkata ini adalah kesalahan pertama dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Bagaimanapun pihak pendakwaan berhujah agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada orang lain.
Pegawai Pendakwa dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Sabah Saifullah Al-Mujahidi Mohamad Uda berkata Amlodipine merupakan ubat bagi rawatan darah tinggi yang diklasifikasikan sebagai Racun Kumpulan B di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh dijual dengan preskripsi doktor berdaftar.
Beliau berkata kesalahan tersebut serius kerana jualan tanpa preskripsi boleh membawa risiko kesihatan termasuk dos tidak tepat dan penyalahgunaan ubat.
“Jualan tanpa preskripsi membuka ruang kepada penggunaan ubat tanpa pemantauan perubatan yang betul sekali gus mendedahkan pengguna kepada risiko kesihatan yang serius,” katanya.