Kota Kinabalu: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis daripada dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan menganugerahkan kontrak bernilai RM2,589,079.32 kepada sebuah syarikat yang sebahagiannya dimiliki beliau.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga membuat keputusan itu terhadap Sulaiman Mohd Noor, 59, tanpa memanggil beliau membela diri.
Advertisement

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sulaiman.
Bagi pertuduhan pertama, Sulaiman didakwa menggunakan kedudukannya sebagai CEO YBS Tenaga Sdn Bhd untuk melantik Syarikat Pemborong Tambun Jaya, syarikat yang dimilikinya bersama pihak lain bagi melaksanakan kerja mekanikal dan elektrikal bernilai RM2,275,115.92.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk melantik syarikat sama menjalankan kerja penyelenggaraan jalan di Kampung Minitampak 3 bernilai RM313,963.40.
Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing pada 12 Mac 2018 dan 2 Oktober 2017 di pejabat YBS Tenaga Sdn Bhd.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil 14 saksi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapifee manakala Sulaiman diwakili peguam Zahir Shah.