TAWAU: Tindakan penyelewengan 1,350 liter diesel yang juga bahan bakar kawalan bersubsidi dipercayai didalangi sindiket minyak terbongkar hasil daripada serbuan dan pemeriksaan di sebuah bengkel terbiar di tepi Jalan Damai kira-kira jam 7.30 malam pada Selasa.
Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah mendedahkan kepada media pada Rabu bahawa rampasan terbabit diserahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau kepada KPDN Cawangan Tawau.
Advertisement

Menerusi serbuan terbabit pihak berkuasa merekodkan nilai rampasan keseluruhan bernilai lebih RM104, 000 termasuk hasil sitaan terhadap sebuah lori jenis Isuzu lapan tan yang sudah diubahsuai, tong drum besi, hos paip minyak dan mesin pam.
Dalam operasi itu seorang lelaki tempatan yang juga pemandu lori berumur 30 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut selepas disyaki turut terlibat dalam kegiatan penyelewengan bahan bakar kawalan bersubsidi di lokasi serbuan berkenaan.
Siasatan kes terbabit kini dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang membabitkan bidang kuasa dalam penguatkuasaan, pelesenan dan hukuman terhadap kegiatan penyorokan atau penjualan haram barangan kawalan bersubsidi termasuk diesel.
Di bawah Akta 122 mereka yang dikesan melakukan kesalahan boleh diambil tindakan dan jika disabitkan bersalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala sekiranya ada syarikat yang dikesan melakukan perbuatan sedemikian pula, pihak terlibat boleh didenda tidak lebih dari RM2 juta sementara bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta jika disabitkan bersalah.
Sehubungan itu juga KPDN memberikan amaran keras terhadap individu-individu atau syarikat-syarikat yang berkaitan supaya dapat memastikan pematuhan peraturan selaras dengan perundangan yang sudah ditetapkan di negara ini.
Pada masa sama KPDN menegaskan komitmen mereka untuk terus menjalin kerjasama erat dengan agensi penguatkuasa lain dalam usaha bersama membanteras penyelewengan barangan kawalan bersubsidi dan memastikan tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barangan kawalan bersubsidi dialu-alukan untuk menyalurkannya menerusi platform digital atau menghubungi talian KPDN Tawau atau melalui aplikasi WhatsApp Aduan Pengguna.