TAWAU: Seramai 27 warga China, termasuk seorang wanita, serta seorang wanita warga Vietnam didenda atas pertuduhan berkaitan love scam dan penipuan pelaburan dalam talian melibatkan penjualan produk kegunaan harian yang menyasarkan warga Korea awal bulan ini.
Kesemua 28 tertuduh berusia antara 21 hingga 51 tahun itu mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin dan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Advertisement
X500px(H).jpg)
16 daripada mereka iaitu Liu Yang, Chen Jianjun, Yang Peimin, Rao Yucai, Xiong Chen, Shi Rui, Zhang Yang, Guo Cong, Han Qingguan, Tian Han, Zheng Huyun, Chen Wenxing, Zhou Jinhui, Dong Peilin, Zhou Neng dan Yu Yuexing masing-masing didenda RM5,000 atau penjara dua bulan.
12 lagi, termasuk dua wanita dikenali sebagai Bui Thi Hue (warga Vietnam), Xiu Chunlei, Liu Qingdong, Lei Ou, Chen Penghui, Tu Zhengzhi, Lin Xianjian, Tian Liansheng, Sun Yule, Han Hui dan Yuan Meng masing-masing didenda RM5,000 atau penjara empat bulan.
Kesemua mereka turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.
Semasa prosiding, mahkamah membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan permohonan tawar-menawar pengakuan di bawah Seksyen 172(C) Kanun Tatacara Jenayah yang dipersetujui antara tertuduh dan pihak pendakwaan dengan persetujuan peguam bela mereka.
Terdahulu, semua tertuduh memberitahu mahkamah bahawa mereka memahami pertuduhan dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di dua bilik mahkamah berasingan.
Kesemua 28 tertuduh didakwa bertindak bagi mencapai niat bersama dalam satu konspirasi jenayah untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu memperdaya mangsa melalui love scam dan penipuan pelaburan melibatkan penjualan produk kegunaan harian yang menyasarkan warga Korea.
Kesalahan itu, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, didakwa dilakukan di empat rumah banglo di Indah Regency, Bandar Sri Indah (BSI) Batu 10, Jalan Apas, kira-kira jam 9.20 pagi pada 6 Mei 2026.
Pertuduhan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Choong Wen Shan yang mewakili kesemua 28 tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman selaras dengan permohonan tawar-menawar pengakuan, dengan mengambil kira bahawa ini adalah kesalahan pertama mereka dan mereka berjanji tidak akan mengulanginya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberi pengajaran terhadap semua 27 tertuduh kerana kesalahan itu melibatkan konspirasi jenayah untuk melakukan penipuan.
Katanya, semua tertuduh didapati terlibat dalam sindiket yang menjalankan aktiviti penipuan sebagai sumber pendapatan mereka.
Menurutnya, di Sabah sahaja, ini merupakan kes ketiga melibatkan kesalahan sama atau seumpamanya yang didakwa dalam tempoh dua bulan, dengan dua daripadanya didakwa di Tawau.