Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan terhadap seorang lelaki tanpa dokumen kerana memiliki motosikal curi.
Jijam Ghadafi mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan memiliki sebuah motosikal Yamaha Y15ZR milik Jesyntiya Pitor yang dilaporkan hilang.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 3.30 petang pada 29 April lalu di hadapan sebuah restoran di Alamesra Plaza Permai.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pengadu membuat laporan polis pada 5 April lalu selepas mendapati motosikalnya hilang dari kawasan parkir motosikal di Sulaman Central, Manggatal kira-kira jam 9 malam.
Pengadu kali terakhir melihat motosikal itu pada 4 April selepas pulang dari tempat kerja. Bertindak atas maklumat polis menahan Jijam bagi membantu siasatan kes tersebut.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap dan selepas itu dirujuk kepada Jabatan Imigresen.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 43 tahun didakwa memandu secara melulu sehingga membahayakan keselamatan awam.
Mohd Fardy Eddie mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu secara cuai di jalan awam sehingga membahayakan keselamatan seorang pengguna jalan raya Siem Gobuh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 4 pagi pada 28 April lalu di Kampung Melalin, Tuaran.
Dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 namun peguam Khairudin Noordin yang mewakili tertuduh memohon jumlah lebih rendah.
Mahkamah menetapkan 8 Julai depan untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,200 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Yusdi Basri.