Kota Kinabalu: Dua lelaki dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan samun berkumpulan terhadap seorang wanita manakala seorang lagi tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta dua sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan melepas dan membebaskan Sharizan Sablee, 26, dan Zamree Said, 37, selepas perbicaraan penuh manakala Mohd Melvin Matdi, 38, didapati bersalah.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Mahkamah memutuskan bahawa Sharizan dan Zamree berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan namun pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Mohd Melvin.
Mahkamah turut memerintahkan Mohd Melvin menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Mac 2024.
Mohd Melvin didapati bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu samun mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda serta sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya mahkamah memutuskan bahawa memandangkan Sharizan dan Zamree dibebaskan daripada tuduhan samun berkumpulan, elemen “samun berkumpulan” tidak dapat dibuktikan bagi mengekalkan pertuduhan asal.
“Bagaimanapun elemen samun telah berjaya dibuktikan maka mahkamah meminda pertuduhan terhadap Mohd Melvin kepada pertuduhan lebih ringan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” kata mahkamah.
Pada awalnya ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa bersama-sama menyamun seorang wanita berusia 40 tahun dengan merampas beg tangannya di kawasan Pasar Tamu Manggatal pada 7 Mac 2024.
Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing memanggil lima saksi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis manakala Sharizan dan Zamree tidak diwakili peguam. Mohd Melvin pula diwakili peguam Sylvester Kuan.