PENGURUSAN sebuah restoran francais makanan segera terkenal di seluruh negara merancang untuk menaik taraf sistem penghawa dingin di cawangannya di Kunak.
Sementara itu pemilik sebuah kedai serbaneka di Kota Kinabalu pula akan mengambil langkah memberi amaran kepada pelanggan mengenai bahagian lantai yang tinggi di salah satu ruang premis berkenaan.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Tindakan itu diambil susulan aduan mengenai masalah pengudaraan di restoran makanan segera di Jalan Sungai Atas serta risiko keselamatan di kedai serbaneka di Lorong Api-Api 1.

Seorang pelanggan di Kunak mendakwa orang ramai tidak lagi dapat menjamu selera di restoran berkenaan kerana kakitangan kaunter memaklumkan pelanggan bahawa makanan hanya boleh dibawa pulang.
Seorang penduduk Papar pula berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan demi menjaga keselamatan pelanggan kedai serbaneka itu selepas dia terjatuh di dalam premis berkenaan.
Menurutnya seorang pelanggan wanita hamil turut dikatakan pernah terjatuh sebelum ini apabila dia memaklumkan perkara itu kepada pekerja kedai.
Kedua-dua individu terbabit menyalurkan maklumat berhubung aduan mereka kepada Hotline.
Ibu pejabat syarikat francais terbabit di peringkat negeri dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dihubungi secara berasingan bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu tersebut.
Jurucakap syarikat francais itu berkata pihaknya sedia maklum mengenai keadaan kurang selesa akibat sistem pengudaraan di cawangan Kunak berkenaan.
“Premis itu mempunyai tiga pemampat penghawa dingin dan semuanya mengalami kerosakan,” katanya sambil menambah bahawa setiap peralatan itu mempunyai kapasiti 10 kuasa kuda.
“Beberapa kipas berdiri telah ditempatkan berhampiran ruang makan di tingkat bawah dan tingkat satu premis itu bagi memberi sedikit kelegaan kepada pelanggan sementara kami berusaha menyelesaikan masalah kerosakan pemampat berkenaan,” tambahnya.
Beliau mengakui keadaan kurang selesa di dalam premis itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
“Satu urusan dalaman telah melambatkan usaha menggantikan pemampat tersebut, namun kami akan cuba mempercepatkan proses itu demi kepentingan pelanggan.
“Ketua cawangan kami bagi Sabah dan Sarawak serta pengurus penyelenggaraan akan dimaklumkan mengenai rungutan orang ramai di Kunak. Diharapkan perkara ini dapat mempercepatkan proses perolehan,” ujarnya.
Jika tiada sebarang masalah tidak dijangka, jurucakap itu menjangkakan sistem penghawa dingin di cawangan berkenaan akan kembali berfungsi sepenuhnya sebelum penghujung bulan ini.
Berhubung kedai serbaneka itu pula DBKK sedang memantau keadaan di premis berkenaan bagi memastikan pemilik menjaga keselamatan pelanggan mereka.
Jurucakap Jabatan Kawalan Bangunan DBKK berkata pemeriksaan dilakukan ke atas kedai berkenaan beberapa hari selepas pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Menurutnya seorang wakil syarikat pengurusan (MC) pusat komersial yang menempatkan kedai serbaneka itu turut hadir semasa pemeriksaan dijalankan.
“Kakitangan kami mengesahkan terdapat satu binaan berbentuk segi empat tepat yang timbul dari lantai di antara beberapa rak jualan.
“Binaan itu setinggi paras betis dan ruang untuk orang ramai berjalan di sekelilingnya juga sangat sempit,” maklumnya.
Beliau berkata keadaan menjadi lebih berbahaya kerana pelanggan yang pertama kali datang ke premis itu mudah terlepas pandang halangan tersebut memandangkan lantai dan binaan berkenaan menggunakan jubin gelap yang sama.
“Kami dimaklumkan bahawa penyewa terdahulu merupakan pengurup wang yang membina lantai tinggi itu untuk menempatkan peti simpanan keselamatan.
“Kakitangan syarikat pengurusan turut memaklumkan kepada pegawai kami bahawa penyewa sekarang memasuki premis itu tanpa melakukan sebarang pengubahsuaian.
“Penyewa baharu itu dipercayai enggan merobohkan binaan tersebut buat masa ini kerana kerja berkenaan dijangka menghasilkan banyak habuk,” katanya.
Beliau berkata kakitangan agensi itu turut berbincang dengan seorang pekerja kedai yang ditemui semasa pemeriksaan dijalankan.
“Pekerja tersebut diminta memaklumkan kepada majikannya supaya pita keselamatan dipasang di sekeliling binaan berkenaan. Pekerja kedai itu bersetuju untuk berbuat demikian.
“Kami berharap langkah itu dapat membantu pelanggan melihat dengan lebih jelas halangan yang terdapat di laluan mereka,” jelasnya.
Jurucakap itu berkata pemilik kedai diberikan tempoh tertentu untuk mematuhi arahan DBKK.
“Pemeriksaan susulan akan dilakukan selepas tempoh tersebut tamat.
“Tindakan lanjut akan diambil terhadap penyewa sekiranya didapati arahan kami tidak dipatuhi,” tegasnya.