SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyelaraskan bantuan mangsa kebakaran Kampung Bahagia seiring dengan perancangan Kerajaan Negeri Sabah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Nancy Shukri, berkata pihaknya akan berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dalam masa terdekat bagi membincangkan jenis-jenis bantuan yang disalurkan melalui kementeriannya.
“Kita ada inisiatif membantu mangsa-mangsa kebakaran Kampung Bahagia ini namun kita tidak mahu mendahului perancangan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Sabah, oleh itu kita akan berjumpa dan berbincang bagi menyelaras bantuan-bantuan ini,” katanya.
Beliau ditemui media semasa program turun padang menyantuni mangsa kebakaran Kampung Bahagia dan penyampaian sumbangan Yayasan Sime Darby di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rumah Warga Tua Sri Harapan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turun memberitahu, Kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membelanjakan RM900,000 bagi menampung penyedian makanan dan minuman hampir 2,000 mangsa-mangsa kebakaran Kampung Bahagia yang berada di lapan PPS bermula 19 April sehingga 2 Mei.
Selain menyantuni mangsa kebakaran yang terjejas, Nancy turut menyampaikan penghargaan kepada petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertungkus lumus menguruskan PPS sejak insiden ini berlaku.
Jelasnya lagi, JKM telah memainkan peranan penting dalam menyelaras dan mengurus operasi PPS termasuk melaksanakan pendaftaran mangsa menerusi Sistem Info Bencana JKM, mengurus agihan barangan keperluan serta penyediaan makanan kepada mangsa sebanyak tiga kali sehari.
Selain penyediaan keperluan asas, JKM turut memberi penekanan terhadap aspek pemulihan emosi melalui pelaksanaan intervensi krisis dan sokongan psikologi kepada mangsa.
Intervensi ini dilaksanakan oleh Pegawai Psikologi JKM dan pasukan sokongan di beberapa PPS termasuk SMK Batu Sapi, SK Gas, Dewan PPR Batu Sapi, SK Karamunting dan Dewan Sibuga bermula 20 hingga 23 April 2026.
Secara keseluruhan, seramai 262 mangsa telah menerima intervensi psikososial melalui sesi yang dijalankan di PPS terlibat.
Pendekatan ini bertujuan membantu mangsa menstabilkan emosi, mengurangkan kesan trauma serta mempercepatkan proses pemulihan. Yayasan Kebajikan Negara (YKN) selaku agensi di bawah KPWKM turut memainkan peranan dalam membantu meringankan beban mangsa bencana dengan sumbangan Bantuan Kasih Prihatin berupa cek berjumlah RM200,000 kepada Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah untuk diselaraskan dan diagihkan kepada mangsa.
Selain bantuan tunai, YKN turut mengagihkan beg berisi makanan bagi dewasa, beg berisi peralatan menulis dan mewarna untuk kanak-kanak serta beg barangan keperluan yang mengandungi pakaian, susu dan lampin bayi.