SEMPORNA: Sebuah bas ekspres dua tingkat musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran di Jalan Semporna-Kunak, malam Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Rastam Keladi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.49 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, jentera bomba yang diketuai Komander Operasi PBK II Nazir Korong bersama lapan anggota tiba di lokasi kira-kira 20 kilometer dari balai pada jam 11.10 malam.
“Kebakaran membabitkan sebuah bas jenis Scania K420 dua tingkat yang terbakar sepenuhnya. Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air dari jentera,” katanya dalam kenyataan.
Rastam berkata kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.28 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 malam.
Anggota polis turut berada di lokasi kejadian untuk mengawal lalulintas.
Advertisement

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu kerana bas berkenaan tidak membawa penumpang ketika kebakaran berlaku.
Difahamkan bas terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu bagi tujuan pembaikan ketika insiden berlaku.