SANDAKAN: Pasukan Perisai FC berjaya merangkul gelaran juara dalam pertandingan Program Liga Mini Bola Sepak DPLI UMS 2026 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Perisai FC muncul juara selepas mempamerkan aksi paling konsisten sepanjang kejohanan berlangsung di Padang Bola Sepak UMS Kampus Sandakan, manakala Lundus FC selaku naib juara dengan Elevenz FC menduduki tempat ketiga.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Bagi kategori individu, pemain Perisai FC, Mohamad Ahareeza, dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan, manakala penjaga gol Lundus FC, Mohamad Haikal Haziq, menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik atas prestasi cemerlangnya sepanjang pertandingan.
Kejohanan anjuran pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) sesi 2025/2026 itu diadakan sebagai sebahagian daripada keperluan kursus DT50502 Pengurusan dan Tadbir Urus Kokurikulum di bawah Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, UMS, dengan objektif memberi pendedahan praktikal kepada pelajar dalam aspek perancangan, pengurusan dan pelaksanaan kejohanan sukan secara sistematik.
Pengarah Program, Muhammad Nur Hafiz Mohd Ridwan berkata, kejayaan penganjuran liga mini itu membuktikan komitmen tinggi jawatankuasa pelaksana dalam memastikan program berjalan lancar, tersusun dan mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan.
Menurutnya, program itu bukan sekadar padang pertandingan bola sepak, sebaliknya platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada pelajar DPLI menerapkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan teknikal, protokol, logistik dan kerja berpasukan dalam situasi sebenar.
“Saya amat berbangga dengan semangat kerjasama semua jawatankuasa, peserta dan pasukan yang terlibat sehingga program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Penasihat Program, Dr Frederick Josue @ Mohd Fadhil Abdullah berkata, penganjuran program seumpama itu penting dalam membentuk kemahiran profesional bakal pendidik khususnya dalam bidang pengurusan kokurikulum dan sukan di sekolah.
Katanya, pengalaman mengendalikan program sebenar membantu membentuk bakal guru yang lebih berkeyakinan, berdisiplin dan bersedia mengurus aktiviti kokurikulum secara berkesan pada masa hadapan.
Dr Frederick turut menegaskan aktiviti sukan seperti bola sepak dapat memupuk nilai-nilai positif termasuk semangat kesukanan, kepimpinan, komunikasi berkesan dan kesejahteraan fizikal dalam kalangan pelajar.
Program Liga Mini Bola Sepak DPLI UMS Sandakan 2026 turut menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Kolaborasi untuk Matlamat melalui penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti fizikal, pembelajaran praktikal dan pengurusan program kolaboratif.