Kota Kinabalu: Kejohanan Karate Piala Pesuruhjaya Polis Sabah 2026 melabuhkan tirai dengan Briged PGA Sabah muncul juara keseluruhan dalam pertandingan yang melibatkan kontinjen PDRM seluruh negeri.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun merasmikan majlis penutupan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada Isnin.
Kejohanan selama dua hari yang bermula Ahad itu menyaksikan penyertaan semua kontinjen PDRM Sabah termasuk Briged PGA Sabah dan Pulapol Kota Kinabalu.
Bagi acara Kata Terbuka Lelaki, Briged PGA Sabah muncul juara manakala IPD Semporna naib juara sementara tempat ketiga dikongsi IPD Kota Kinabalu dan Pulapol Kota Kinabalu.
Kategori Kata Terbuka Wanita pula dikuasai IPD Labuan yang meraih tempat pertama dan kedua manakala tempat ketiga dikongsi Pulapol Kota Kinabalu dan IPD Ranau.
Dalam acara Kumite (PKP) Lelaki, IPD Sandakan muncul juara diikuti IPD Semporna di tempat kedua, sementara tempat ketiga dikongsi Briged PGA Sabah dan IPD Tenom. Bagi kategori Kumite (PKP) Wanita, IPD Kota Belud menjuarai acara, diikuti IPD Tuaran sebagai naib juara dan tempat ketiga dikongsi IPD Ranau serta IPD Kota Kinabalu.
IPD Kota Belud meneruskan kecemerlangan dengan menjuarai acara Kumite Berpasukan Wanita Terbuka, manakala IPD Kota Kinabalu di tempat kedua dan IPD Labuan bersama Briged Sabah berkongsi tempat ketiga.
Dalam acara Kumite Berpasukan Lelaki, Briged Sabah sekali lagi mencatat kemenangan, diikuti IPD Kota Kinabalu di tempat kedua, manakala IPD Lahad Datu dan Pulapol Kota Kinabalu berkongsi tempat ketiga.
Secara keseluruhan, Briged PGA Sabah mendahului kedudukan kejohanan, diikuti IPD Kota Belud di tempat kedua dan IPD Labuan di tempat ketiga.
Majlis penutupan turut diserikan dengan persembahan Kata Individu oleh Adik NYR Rasyiqah Fari’ah Razmi (Kata UNSU), diikuti persembahan Kata Berpasukan Wanita oleh Persatuan Karate Sabah yang dianggotai Adik Bibi Aysha Muhammad Zain, Adik Nur Shaheen Izazi Imtiaz dan Adik Nur Rasyiqah Fari’ah Razmi, menampilkan Gojushiho-Sho dan Bunkai.
Satu lagi tarikan simbolik menyaksikan Datuk Jauteh Dikun mengenakan pakaian karate Gi dan tali pinggang hitam sebelum mematahkan papan demonstrasi, melambangkan ketegasan, keberanian dan semangat warga PDRM.
Dalam ucapannya, beliau berkata kejohanan itu menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu karate serta memperkukuh semangat kesukanan, perpaduan dan jati diri dalam kalangan anggota.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Supt Mohd Hamizi Halim dan DSP Sabrina Jinius serta semua peserta atas komitmen dan prestasi yang ditunjukkan.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Abdul Rani Alias, ketua jabatan, ketua polis daerah, pegawai kanan, pegawai rendah dan kakitangan awam.