BELURAN: Seorang lelaki cedera parah manakala beberapa mangsa lain mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Jaya Bakti, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian jam 7.01 pagi itu, kemalangan membabitkan dua Perodua Bezza dan sebuah Proton, dengan keseluruhan 10 mangsa terlibat.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Penolong Kanan Penguasa Bomba Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 sebelum sepasukan enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan dengan beberapa mangsa mengalami kecederaan.
“Sebuah Perodua Bezza merah dinaiki tiga wanita yang semuanya cedera, manakala sebuah Perodua Bezza biru pula membawa enam individu termasuk dua lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, salah seorang lelaki dalam Bezza biru itu cedera parah manakala seorang lagi lelaki serta dua wanita mengalami kecederaan ringan.
“Dua kanak-kanak itu, masing-masing lelaki dan perempuan, serta pemandu Proton iaitu seorang lelaki, tidak cedera,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak mengawal lokasi kejadian serta memberi bantuan awal kepada mangsa sebelum semuanya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.33 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.