TAMBUNAN: Seorang lelaki berusia 38 tahun cedera selepas lori seberat 10 tan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kg Sunsuron, di sini, awal pagi Rabu.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri menerima panggilan kecemasan melalui talian hotline balai pada jam 1.55 pagi sekali gus menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
Advertisement

Pasukan yang diketuai Komander Operasi PBK II Rayner Jaidis tiba pada jam 2.10 pagi bersama sebuah jentera bomba dan unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Setibanya di lokasi, didapati lori yang membawa muatan simen itu terbabas keluar ke bahu jalan.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Zulisham Saimin berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Pasukan EMRS memberikan rawatan awal di lokasi sebelum mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 2.30 pagi selepas memastikan keadaan di lokasi adalah selamat.