RANAU: Keindahan alam semula jadi bertaraf antarabangsa serta kekayaan warisan budaya Kadazan Dusun terus meletakkan Ranau sebagai antara destinasi pelancongan utama di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata sambutan Kaamatan di daerah itu bukan sahaja menjadi perayaan budaya malah platform penting dalam mempromosikan pelancongan tempatan khususnya eko-pelancongan dan pelancongan warisan budaya.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Menurutnya daerah Ranau bertuah kerana memiliki tarikan alam semula jadi unik yang mendapat pengiktirafan antarabangsa terutama kawasan di bawah pengiktirafan Unesco yang terus menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.
“Keindahan alam semula jadi, biodiversiti dan panorama memukau menjadikan Ranau sebuah destinasi eko-pelancongan yang berpotensi tinggi,” katanya semasa merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Daerah Ranau 2026 di Dewan Masyarakat Ranau pada Sabtu.
Masidi berkata kekayaan budaya masyarakat Kadazan Dusun di Ranau turut menjadi tarikan utama pelancong dengan sambutan Kaamatan memberi peluang memperkenalkan adat tradisi, makanan tempatan, persembahan kebudayaan serta nilai warisan kepada pengunjung.
Beliau yakin dengan kerjasama berterusan semua pihak, Ranau akan terus berkembang sebagai destinasi pelancongan berteraskan alam semula jadi dan budaya selaras aspirasi pembangunan Sabah.
Bertemakan “Kaamatan: Mongomot Pisompuruan, Mamaramai Piunungan” atau “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, Masidi berkata sambutan tahun ini membawa makna mendalam khususnya dalam masyarakat majmuk Sabah.
Beliau menyifatkan Kaamatan bukan sekadar pesta menuai, tetapi simbol kesyukuran, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.
Katanya semangat “Pisompuruan” atau perpaduan penting bagi memastikan masyarakat terus hidup aman dan saling menghormati manakala “Piunungan” atau keharmonian mencerminkan masyarakat seimbang yang dibina atas dasar kerjasama, persefahaman dan sokongan antara satu sama lain.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan peringkat daerah tahun ini sambil menyifatkan komitmen serta kerjasama ditunjukkan sebagai cerminan kekuatan perpaduan masyarakat.