TAWAU: Seorang penolong pengurus kewangan yang disyaki suspek utama dalam satu kes ugutan bunuh menerusi aplikasi WhatsApp terhadap seorang pekerja lain diberkas di hadapan sebuah bangunan sekitar pusat bandar pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek utama terbabit yang juga seorang lelaki tempatan berumur 59 tahun ditahan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD).
“Tindakan polis menangkap suspek diambil memandangkan suspek berkenaan dipercayai melakukan ugutan bunuh terhadap seorang pekerja akibat salah faham berkaitan urusan kerja pada minggu lepas” katanya.
Jasmin berkata kejadian itu dilaporkan bermula pada 30 April kira-kira jam 11.28 pagi yang membabitkan pertelingkahan antara mangsa iaitu seorang lelaki berumur 36 tahun dengan suspek yang juga penolong pengurus kewangan.
Menurutnya mangsa mengaku menerima satu pesanan suara dalam aplikasi WhatsApp pada Jumaat lepas kira-kira jam 3.13 pagi daripada suspek yang disyaki mengandungi ugutan serius sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya.
“Bimbang dengan ancaman yang diterima oleh dirinya itu mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk membolehkan tindakan lanjut diambil sebelum tindakan mengesan dan menahan penolong pengurus kewangan terbabit dijalankan,” ujarnya.
Beliau berkata hasil penahanan dan pemeriksaan terhadap suspek polis turut berhasil merampas sebuah telefon pintar yang dipercayai digunakannya untuk menghantar mesej ugutan bunuh kepada mangsa.
Mengulas lanjut siasatan berhubung kes itu kini dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan melibatkan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan melulu secara bersendirian ketika berhadapan sebarang konflik sebaliknya menyelesaikan pertikaian yang berlaku secara profesional dan berhemah.
“Semua anggota masyarakat perlu sedar bahawa sebarang perbuatan dalam bentuk ugutan secara lisan atau melalui aplikasi media sosial adalah termasuk kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” tegasnya.