KOTA BELUD: Keindahan alam semula jadi Kadamaian yang dihiasi panorama megah Gunung Kinabalu bakal sekali lagi menjadi tumpuan dunia menerusi acara BigBigPlace Kadamaian Adventure Race (KAR) Ultra 2026.
Acara larian ultra trail yang terkenal dengan laluan mencabar itu dijadualkan bermula 24 hingga 26 Julai ini, di D’Sawah Tambatuon Guesthouse, Kampung Tambatuon, Kadamaian, di sini.
Advertisement

Dikelilingi kehijauan bukit, sungai jernih, laluan denai kampung yang berlatar belakangkan Gunung Kinabalu, KAR diangkat sebagai antara acara pelancongan sukan di Sabah.
Pengarah penganjur, Javaduis Bollah berkata, edisi larian kali kesepuluh itu dijangka menghimpunkan lebih 2,000 peserta terdiri warga tempatan dan luar negara.
Katanya, setakat ini pihak penganjur menerima penyertaan dari negara Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Vietnam, China, Hong Kong, Jepun, India, Amerika Syarikat, Great Britain dan Romania.
“Penyertaan antarabangsa yang semakin meningkat membuktikan KAR Ultra kini semakin dikenali sebagai acara ultra trail bertaraf global yang bukan sahaja menguji ketahanan fizikal peserta, malah memperkenalkan keindahan semula jadi Sabah kepada dunia.
“Kadamaian, mempunyai tarikan luar biasa dengan latar Gunung Kinabalu, laluan kampung tradisional, sungai, ladang serta denai alam semula jadi yang memberikan pengalaman berbeza kepada setiap peserta,” katanya ditemui pada sidang media.
Menurutnya, peserta bukan sekadar berlari, tetapi menikmati sendiri keindahan alam dan suasana desa yang sukar ditemui.
Mengulas lanjut, sempena ulang tahun ke-10 acara KAR, dua kategori baharu diperkenalkan iaitu 100 Batu (160km) dan 6km.
Javadius berkata, kategori 100 Batu ditambah khas bagi meraikan sedekad acara KAR manakala kategori 6km diperkenalkan untuk memberi peluang kepada lebih ramai peserta termasuk pemula untuk merasai pengalaman larian ultra trail di Kadamaian.
“Acara tiga hari itu kini menawarkan lima kategori larian iaitu 100 Batu, 80km, 35km, 12km dan 6 km.
“Selain menjadi platform pelancongan sukan, acara itu turut membantu sektor ekonomi kepada komuniti setempat termasuklah pengusaha rumah penginapan, tapak perkhemahan, pengangkutan, peniaga serta pembuat kraftangan,” ujarnya.
Pihak penganjur turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan peserta dengan menganjurkan kursus Basic Life Support (BLS) dan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) pada 16 hingga 17 Mei ini bagi melatih kesemua kru terlibat dalam mengendalikan sebarang situasi kecemasan.
Selain menyediakan checkpoint lengkap dan pasukan perubatan, pihak penganjur juga akan melaksanakan kempen “Leave No Trace” bagi memastikan keindahan alam semula jadi Kadamaian terus terpelihara.
“Kami mahu KAR Ultra terus berkembang sebagai acara ultra trail bertaraf dunia dan menjadi ikon pelancongan sukan Sabah,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 30 buah kampung yang terlibat menggunakan laluan acara iaitu Kampung Tambatuan, Purakogis, Narinang, Bayayat, Koung Malaan, Tambulaung, Bahab, Soronsob, Pomotodon, Tiong Komburaon, Kayangat Lama, Tamu Darat, Gaur, Piasau, Tambulion.
Selain itu Kampung Tengkurus, Penampatan Baru, Tegudon, Nahaba, Bukid, Pinolobu, Podos, Gensurai, Tinata, Melangkap Noriou, Melangkap Kapa, Melangkap Tiong, Melangkap Tomis, Melangkap Baru dan Bundu Paka.
Difahamkan, BigBigPlace tampil sebagai antara penaja utama yang menyalurkan tajaan hadiah barangan sukan bernilai RM15,000 kepada para pemenang.
Acara berkenaan turut mendapat sokongan Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (Mindet) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang turut menyalurkan peruntukan berjumlah RM25,000.
Hadiah keseluruhan membabitkan jumlah bernilai lebih RM50,000 termasuk wang, pingat, sijil, aksesori sukan dan produk nutrisi.
Antara kerjasama agensi terlibat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pasukan paramedik, kelab radio komunikasi dan pacuan empat roda.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan rasmi https://checkpointspot.asia/event/Kadamaian-Ultra-2026 atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi media sosial rasmi Kadamaian Adventure Race di https://www.karultra.com.my/.