Kota Kinabalu: Seorang guru dari Sabah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pemenang peringkat serantau bagi 2026 Cambridge Dedicated Teacher Awards atas usaha beliau memperkasa pendidikan inklusif untuk murid berkeperluan khas di kawasan luar bandar.
Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas (PPKI) Dr Velerie Wheelervon Primus dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, Keningau dipilih sebagai antara sembilan pemenang serantau global selepas berjaya membawa perubahan signifikan dalam sektor pendidikan khas melalui pendekatan pengajaran yang lebih holistik dan inklusif.
Advertisement

Dr Velerie berkata pendidikan bukan sekadar proses penyampaian ilmu sebaliknya satu usaha membina jati diri, harga diri serta rasa kebersamaan dalam kalangan murid.
“Saya percaya pendidikan bukan hanya tentang pengetahuan tetapi tentang memulihkan harga diri dan mewujudkan rasa kebersamaan,” katanya.
Sebagai pemenang serantau beliau akan menerima buku bernilai £500 (kira-kira RM2,682) untuk kegunaan bilik darjah, trofi serta pengiktirafan antarabangsa.
Dr Velerie turut akan dipaparkan dalam halaman khas “Thank You” dalam buku teks terpilih terbitan Cambridge International Education bermula November 2026.
Dalam pelaksanaan tugasnya Dr Velerie menyelia Pelan Pendidikan Individu (IEP), membimbing guru-guru lain dalam pendekatan pendidikan inklusif serta bekerjasama dengan ibu bapa bagi memastikan sokongan menyeluruh kepada pelajar autisme dan neurodivergen.
Beliau turut memperkenalkan NeuroArts Framework iaitu pendekatan inovatif yang menggabungkan elemen terapi, seni kreatif dan pembelajaran berasaskan alam semula jadi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pencalonan beliau dibuat oleh guru besar sekolah yang menyifatkannya sebagai pemimpin transformasi dalam pendidikan inklusif serta tokoh yang konsisten memperjuangkan kebajikan kanak-kanak berkeperluan khas.
Pengarah Urusan Kumpulan Cambridge Rod Smith berkata usaha Dr Velerie mencerminkan nilai sebenar pendidikan inklusif khususnya dalam mendampingi pelajar neurodivergen dan keluarga mereka di komuniti mencabar.
Menurut beliau keberanian dan kepercayaan terhadap potensi setiap kanak-kanak membuktikan pendidikan mampu mengubah kehidupan secara menyeluruh.
Sebagai rekod edisi 2026 anugerah berkenaan menerima lebih 12,000 pencalonan dari 126 negara mencerminkan pengiktirafan global yang semakin meningkat terhadap peranan guru bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam kesejahteraan pelajar.
Undian bagi memilih pemenang global kini dibuka sehingga 13 Mei, jam 4 petang waktu Malaysia manakala keputusan keseluruhan dijadual diumumkan pada 2 Jun depan.
Terdahulu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Velerie Wheelervon Primus yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2026 bagi rantau Asia Tenggara dan Pasifik.
Menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya pada Rabu Fadhlina menyifatkan kejayaan itu sebagai satu kebanggaan kepada warga pendidik Malaysia, selain mengiktiraf usaha berterusan Velerie dalam memperkasakan pendidikan inklusif di Sabah.
“Sekali lagi Dr Velerie Wheelervon Primus membanggakan seluruh warga pendidikan dan negara.
“Kali ini beliau dinobatkan sebagai pemenang rantau Asia Tenggara dan Pasifik bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2026,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika mengadakan lawatan ke SK Bingkor, Keningau sebelum ini dan menyaksikan sendiri dedikasi Velerie dalam memartabatkan pendidikan bagi murid berkeperluan khas.
“Tahniah Dr Velerie! Terima kasih kerana menginspirasi kami semua,” katanya mengakhiri ucapan.