SEMPORNA: Semporna bukan sekadar sebuah daerah pesisir biasa, sebaliknya menjadi nadi dan pemangkin utama transformasi ekonomi Sabah menerusi agenda Ekonomi Biru di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata potensi luar biasa daerah itu mampu menjana limpahan ekonomi berskala besar sekiranya diurus secara strategik, sekali gus memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat setempat tetapi juga seluruh negeri.
Advertisement

“Dengan kata lain, kejayaan Semporna adalah kejayaan Sabah,” katanya pada majlis makan malam sempena lawatan kerja beliau ke daerah itu sebagai sebahagian daripada Program Pemeriksaan Keselamatan Esszone, di sini, Rabu.
Hajiji berkata Semporna telah mendahului beberapa inisiatif penting yang boleh dijadikan penanda aras khususnya dalam sektor pelancongan marin berimpak tinggi dan lestari.
Mengambil contoh Pulau Sipadan, Hajiji berkata mereka telah berjaya melaksanakan sistem kuota pelawat harian yang kini menjadi model pengurusan pelancongan bernilai tinggi dan mampan sekali gus memastikan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan aktiviti ekonomi.
“Di Taman Marin Tun Sakaran pula, kita menyaksikan sinergi harmoni antara pelancongan, pemeliharaan biodiversiti dan penglibatan komuniti setempat. Inilah asas kepada konsep pelancongan berasaskan komuniti yang kita mahu perluas kerana ia memastikan kekayaan alam Semporna dipulangkan semula kepada rakyatnya,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri kini mempergiat usaha mentransformasikan sektor akuakultur marin bagi mewujudkan anjakan daripada pengeluaran bahan mentah kepada ekonomi berasaskan nilai tambah.
Menurutnya, antara fokus utama ialah peluasan zon akuakultur bersepadu berskala komersial, pengenalan teknologi sangkar laut moden yang lebih efisien dan mesra alam, memberi sokongan padu kepada pengusaha rumpai laut bagi meningkatkan produktiviti serta memastikan kualiti hasil bertaraf eksport.
“Pada masa sama, kita juga berusaha menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor hiliran pemprosesan makanan laut supaya rantaian nilai ekonomi dapat dikawal secara menyeluruh,” katanya.
Hajiji berkata bagi menyokong pertumbuhan sektor itu, kerajaan turut merangka pelan menaik taraf infrastruktur sokongan kritikal di Semporna.
Katanya, ia meliputi pemodenan kemudahan jeti dan jaringan logistik, pembangunan sistem rantaian bekalan sejuk yang komprehensif bagi memastikan kualiti hasil laut, pembukaan akses lebih luas ke pasaran eksport antarabangsa serta penyediaan kemudahan pelancongan awam yang lebih tersusun, selamat dan bertaraf dunia.
Ketua Menteri turut menegaskan agenda pembangunan besar di Semporna tidak akan menjadi kenyataan tanpa kepimpinan akar umbi yang kukuh dan komitmen tinggi terhadap prinsip kelestarian.
Beliau berkata kawasan tumpuan seperti Pulau Mabul dan Pulau Kapalai kini berdepan tekanan akibat kesesakan dan pembangunan pesat yang memerlukan pendekatan pengurusan lebih berhemah.
“Jika tidak diurus dengan baik, kita berisiko merosakkan aset semula jadi yang menjadi lubuk emas ekonomi negeri. Kelestarian mesti dilihat sebagai satu pelaburan, bukan bebanan,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji menyeru pemimpin setempat agar memainkan peranan lebih proaktif sebagai “penjaga utama” ekosistem dengan membantu penguatkuasaan peraturan, membanteras aktiviti tidak lestari, menggerakkan kempen kesedaran komuniti serta menggalakkan penglibatan belia dalam sektor Ekonomi Biru yang dipacu inovasi dan teknologi moden.
Hajiji turut menegaskan setiap pembangunan di Semporna perlu berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian jangka panjang.
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pembangunan yang hanya mengejar keuntungan jangka pendek sehingga mengorbankan masa depan negeri.
Beliau berkata Semporna berpotensi muncul sebagai hab pelancongan marin lestari bertaraf dunia, pusat akuakultur moden dan pengeluar makanan laut premium utama negara, selain menjadi model pembangunan ekonomi komuniti pesisir serta pusat rujukan kecemerlangan Ekonomi Biru di Sabah.
Hajiji berkata beliau yakin dengan komitmen padu semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri, kepimpinan daerah, agensi pelaksana dan masyarakat setempat, Semporna mampu merealisasikan aspirasi tersebut.
“Apa yang kita rancang dan laksanakan hari ini adalah janji kita kepada generasi akan datang agar mereka mewarisi lautan yang bukan sahaja kaya dengan keindahan semula jadi tetapi juga subur dengan peluang ekonomi yang menjamin kesejahteraan hidup,” katanya.