PETAGAS: Hubungan literasi dan kelestarian sastera antara Sabah dan Kuala Lumpur terus diperkukuh menerusi lawatan muhibah rombongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) ke Sabah baru-baru ini.
Ziarah sastera tersebut yang diketuai oleh Ketua Satu Gapena Datuk Zainal Abidin Borhan bertujuan merapatkan lagi hubungan serta memperkasakan sinergi antara penulis di Semenanjung dan Sabah.
Advertisement

Ketibaan rombongan tersebut disambut mesra oleh Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani bersama jawatankuasa tertinggi Bahasa di Galeri dan Rumah Bahasa di Taman Jumbo.
Dalam majlis meraikan rombongan tersebut Jasni menyifatkan kehadiran pucuk pimpinan Gapena ke pusat gerakan sastera di Sabah itu sebagai satu pengiktirafan tinggi terhadap bakat-bakat tempatan.
Beliau berkata peranan yang dimainkan oleh Gapena sejak sekian lama telah menjadi pemangkin utama kepada kemajuan landskap sastera di negeri ini.
“Sumbangan dan keprihatinan Gapena selama ini amat bermakna dalam membangunkan dan memacu perkembangan sastera di Sabah.
“Sokongan berterusan ini bukan sahaja membantu memartabatkan karya penulis tempatan ke peringkat kebangsaan malah menyuntik semangat baharu dalam ekosistem penulisan dan hubungan dua hala melibatkan penulis dan aktivis sastera di Sabah dan Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu Zainal dalam ucapannya menzahirkan rasa kagum terhadap komitmen Bahasa dalam menyediakan kemudahan seperti Galeri dan Rumah Bahasa yang berfungsi sebagai pusat rujukan dan dokumentasi sastera yang penting di rantau ini.
Pertemuan tersebut turut menyaksikan dua tokoh penulis Sabah iaitu Abd Karim Gullam dan Jasni Yakub mendapat sumbangan daripada Gapena.
Dalam pada itu Gapena juga sedang meneliti kolaborasi masa hadapan termasuk penganjuran pelbagai program penulisan dan pengukuhan diplomasi budaya menerusi sastera.
Hadir sama Timbalan Presiden Gapena Zainal Jais, Naib presiden Gapena Dr Hashim Ismail selain barisan kepimpinan tertinggi Gapena dan Bahasa serta penulis veteran dan muda Sabah.