TAMBUNAN: Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Daerah Tambunan 2026 tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung isu gambar rasmi pertandingan tersebut yang sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
Menurut kenyataan pihak penganjur pada awalnya telah mendapatkan khidmat jurugambar rasmi bagi merakamkan gambar acara berkenaan.
Advertisement

Bagaimanapun selepas melalui beberapa sesi semakan dan permintaan penambahbaikan, sebahagian hasil didapati masih belum memenuhi keperluan visual yang diharapkan.
Sehubungan itu atas kekangan masa serta keperluan untuk mengeluarkan gambar rasmi kepada umum, pihak penganjur mengambil inisiatif melakukan sedikit penambahbaikan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Langkah tersebut menurut mereka hanya melibatkan aspek visual semata-mata tanpa mengubah identiti, wajah atau elemen asal individu dalam gambar.
Dalam masa sama jawatankuasa turut menegaskan bahawa mereka menghargai kepentingan hubungan profesional, kepercayaan serta sensitiviti terhadap penggunaan karya kreatif dalam sesebuah kerjasama.
“Hasil perbincangan yang baik antara kedua-dua pihak, penganjur dan jurugambar telah mencapai persefahaman bersama berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu. Berikutan itu gambar rasmi yang telah dipersetujui bersama akan dikongsikan semula oleh pihak penganjur dalam masa terdekat.
Jawatankuasa turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan khususnya daripada pihak yang tidak terlibat secara langsung dalam urusan terbabit
Kesemua pihak terlibat merakamkan penghargaan atas sokongan dan kefahaman semua pihak dalam memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secara profesional dan harmoni.