TAMBUNAN: Penduduk Kampung Monsok Tengah di sini bimbang susulan kejadian pecah rumah kebun dan mengakibatkan kerugian ribuan ringgit, baru-baru ini.
Pius Kiob, berkata dia hanya menyedari kejadian itu ketika mengunjungi kebunnya sebelum mendapati mangga kunci utama pintu rumah telah dirosakkan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati keadaan dalam rumah berselerak dengan beberapa barangan berharga hilang.
“Antara yang dilarikan termasuk mesin pemotong kayu, tong gas, set lampu solar dan barangan lain dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM5,000,” katanya.
Pius berkata kejadian itu mengejutkan kerana insiden seumpamanya tidak pernah berlaku di kawasan berkenaan sebelum ini.
Beliau mengakui tidak menyangka rumah kebunnya menjadi sasaran sehingga terpaksa menanggung kerugian besar.
Kejadian itu turut menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penduduk setempat yang kini bimbang terhadap keselamatan harta benda mereka di kawasan kebun.
Pius berkata beliau berkongsi kejadian itu bagi meningkatkan kewaspadaan komuniti agar insiden sama dapat dielakkan.
Beliau turut berharap pihak bertanggungjawab dapat dikesan dan dibawa ke muka pengadilan.
Laporan polis telah dibuat dan kes diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.