Kota Kinabalu: Seorang tukang cuci berusia 32 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas beberapa kesalahan melibatkan penggunaan dokumen palsu, menerima harta curi secara tidak jujur dan menipu.
Tertuduh Mohd Sobrie Eddie mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Advertisement

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan sebagai tulen satu resit pembayaran dalam talian palsu melalui DuitNow Transfer berjumlah RM1,100 di hadapan sebuah premis Speedmart di Plaza Kingfisher, Inanam pada 19 Oktober 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Sobrie didakwa menerima harta curi secara tidak jujur iaitu 30 karton bir Tiger dan 25 karton bir Anchor milik Sunrise Kinarut Trading di Taman Putra Perdana, Telipok, Manggatal kira-kira jam 11 pagi pada 4 Mac lalu.
Kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menipu seorang individu Ting Sieng Yiok dengan memperdayakan mangsa untuk menyerahkan 21 karton bir Carlsberg 320ml bernilai RM3,123.96 di premis Bondestiny Sdn Bhd di Jalan Lintas Kepayan kira-kira jam 3.42 petang pada 11 Mac lalu.
Pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan juga denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat, Sobrie didakwa menggunakan sebagai tulen satu resit palsu bertarikh 26 Mac 2026 berjumlah RM5,127.40 ke akaun atas nama Alan Lai Su Chungi di hadapan Putera Perdana Laundry KKIP, Menggatal kira-kira jam 1.20 petang pada tarikh sama.
Kesalahan ini turut didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465.
Pendakwaan memohon pengurusan kes praperbicaraan serta mencadangkan jaminan RM4,000 dengan dua penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan lebih rendah dengan alasan beliau bekerja sebagai tukang cuci dan seorang duda.
Majistret Dzul Elmy Yunus menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula pertuduhan pertama di mahkamahnya dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, mahkamah menetapkan 4 Jun untuk sebutan di hadapan Mahkamah Majistret lain serta membenarkan jaminan RM2,500 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.