TAWAU: Polis menumpaskan satu rangkaian sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai laluan transit sebelum menembusi pasaran Indonesia, susulan rampasan lebih 323 kilogram syabu dan cecair fentanyl bernilai hampir RM19 juta menerusi beberapa operasi di sini dan di Miri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman CP Datuk Hussein Omar Khan berkata kejayaan itu turut membongkar modus operandi baharu sindiket yang menyembunyikan dadah dalam ruangan kenderaan terpakai, sebelum dihantar dari Pelabuhan Klang ke Sabah menggunakan perkhidmatan ejen RoRo dan kontena melalui laluan laut.
Advertisement

Beliau berkata taktik itu dikesan buat pertama kali di negara ini dan dipercayai digunakan sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Rangkaian sindiket ini membawa masuk kereta terpakai dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Sepanggar menerusi laut sebelum dihantar ke Tawau melalui jalan darat dan kelihatan seolah-olah untuk dijual semula sebelum kegiatan mereka terbongkar hasil operasi dijalankan.
“JSJN melaksanakan operasi hasil risikan dan penguatkuasaan bersepadu secara agresif, tersusun dan berterusan bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah tanpa kompromi,” katanya pada sidang media di sini, Khamis.
Beliau berkata dalam Op Hymenoptera yang dijalankan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), dua serbuan dilakukan di sekitar Tawau.
Katanya, serbuan pertama pada 21 April di Batu 15, Jalan Apas membawa kepada rampasan kira-kira 130.6kg syabu daripada dua kenderaan Toyota Harrier serta penahanan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 52 tahun.
“Serbuan kedua pada 1 Mei di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas pula menemukan kira-kira 90.41kg syabu dan 488 bungkusan katrij dipercayai mengandungi hampir satu liter cecair fentanyl.
“Pemeriksaan terhadap sebuah Toyota Camry di lokasi sama turut membawa kepada penemuan 99 bungkusan plastik lutsinar mengandungi lebih 102kg syabu,” katanya.
Hussein berkata keseluruhan rampasan dalam operasi di Tawau melibatkan lebih 323kg syabu dan 0.98 liter fentanyl dengan nilai keseluruhan RM16.34 juta.
Selain dadah, polis turut menyita aset bernilai RM34,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan sebuah Volkswagen Passat, motosikal Yamaha Y16ZR dan wang tunai RM8,000.
Beliau berkata sebelum itu JSJN turut menjalankan Op Coleoptera di Miri pada 20 Januari lalu yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 50 tahun.
“Serbuan di sebuah rumah di Krokop membawa kepada rampasan wang tunai kira-kira RM590,000, manakala serbuan di Jalan Palmaedar pula menemukan RM230,000 wang tunai,” katanya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan sitaan dalam operasi di Miri mencecah RM2.42 juta membabitkan wang tunai RM820,000 serta sebuah Mercedes G-Wagon Brabus, dua Ford Mustang dan sebuah Toyota Harrier.
Hussein berkata sindiket itu dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah aktif di kawasan Segi Tiga Emas melibatkan Myanmar, Laos dan Thailand yang menggunakan Malaysia, termasuk Tawau, sebagai hab transit sebelum dadah dihantar ke negara lain termasuk Indonesia.
“Bukan perkara baharu Tawau dijadikan transit pengedaran dadah kerana kedudukannya berhampiran Indonesia dan Filipina, malah harga syabu di Indonesia boleh mencecah tiga kali ganda berbanding di negara ini.
“Sindiket sentiasa menukar taktik mereka dan ini menjadi cabaran kepada pihak berkuasa, namun kita akan terus memperkukuh kerjasama dengan negara jiran bagi membanteras kegiatan ini,” katanya.
Beliau berkata polis juga sedang mempergiat usaha mengesan dalang utama sindiket termasuk suspek yang dipercayai melarikan diri ke luar negara.
Katanya, penempatan AKPS di Tawau turut membantu memperkukuh usaha penguatkuasaan, khususnya di Pantai Timur Sabah.
Kesemua empat suspek yang ditahan di Tawau dan Miri kini didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.