Kota Kinabalu: Kira-kira 700 peserta mewakili 135 etnik dari seluruh Sabah berhimpun menjayakan Majlis Hari Etnik Sabah 6.0 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Deretan busana tradisi pelbagai etnik yang digayakan peserta sejak awal majlis berlangsung mencuri perhatian sekali gus menampilkan kehalusan motif, sulaman serta aksesori unik yang menggambarkan kekayaan identiti setiap komuniti.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman sempena ulang tahun kelahiran rasmi beliau yang ke-75.
Kehadiran pelbagai rumpun etnik dengan busana tradisi masing-masing jelas menzahirkan tema ‘Budaya Kita, Kita Jaga’ yang menekankan kepentingan memelihara warisan budaya sebagai tanggungjawab bersama.
Pada majlis itu Tun Musa turut menyampaikan Anugerah Peneraju Etnik kepada 16 tokoh yang berperanan besar dalam memartabatkan warisan etnik antaranya Datuk Seri Dr Ruddy Awah, Datuk Seri Sahra Untai dan Datuk Seri Sharif Perais.
Selain itu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turut menyampaikan Sijil Penghargaan Jurulatih kepada individu yang komited melatih generasi pelapis khususnya dalam bidang tarian tradisi dan muzik etnik.
Kemuncak sambutan menyaksikan Tun Musa menyempurnakan upacara memotong kek ulang tahun, diiringi nyanyian lagu ulang tahun oleh para hadirin yang memeriahkan suasana dewan.
Acara diteruskan dengan upacara menandatangani plak peringatan sebagai simbolik perpaduan etnik dan kepelbagaian budaya di negeri ini.
Turut berlangsung ikrar perpaduan yang dilafazkan ketua serta wakil 135 etnik menjadi detik signifikan, mencerminkan kesepakatan dalam memelihara keharmonian dan warisan budaya di Sabah.
Para tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan yang yang menonjolkan keunikan seni warisan Sabah melibatkan muzik tradisi, tarian dan busana pelbagai etnik.
Penganjuran Hari Etnik Sabah 6.0 dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan semua pihak dalam memelihara, mempromosi dan mewariskan khazanah budaya negeri kepada generasi akan datang.