ADUN Merotai Sarifuddin Hata menyeru semua wakil rakyat Kerajaan dan pembangkang, tanpa mengira parti politik, supaya sepakat menghantar mesej yang jelas kepada Kerajaan Persekutuan agar hak 40 peratus negeri ini ditunaikan segera.
Tegasnya, isu tersebut bukan lagi sekadar tuntutan politik, sebaliknya merupakan hak sah Sabah yang termaktub sejak termeterainya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sudah terlalu lama kita melihat isu ini ditangguhkan tanpa penyelesaian yang muktamad. Maka hari ini saya ingin mengajak semua ahli dewan, cukuplah perbezaan, cukuplah retorik...Tiba masa untuk kita bersatu.
“Kita mungkin datang daripada parti politik yang berbeza. Ideologi kita mungkin tidak sama. Namun dalam isu 40 peratus ini, isu hak dan kepentingan Sabah, kita sepatutnya tidak berpecah,” katanya.
Beliau berkata, hak itu bukanlah milik kerajaan hari ini dan juga (bukan) milik mereka sebagai pembangkang, sebaliknya merupakan milik seluruh rakyat Sabah, termasuk anak-anak generasi yang akan datang.
“Bayangkan jika generasi Sabah yang akan datang, mereka dapat menikmati jalan raya yang baik, bekalan air yang mencukupi, pendidikan yang berkualiti dan peluang ekonomi yang adil. Hasil negeri kita kembalikan kepada kita secara adil,” katanya.
Sarifuddin berkata, isu kelewatan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Sabah yang sehingga kini masih belum selesai meskipun pelbagai rundingan, mesyuarat jawatankuasa dan pengumuman demi pengumuman dilakukan.
Tegasnya, isu berkenaan memberi kesan terhadap pelaksanaan pembangunan negeri, termasuk dalam aspek infrastruktur, kemudahan asas serta kesejahteraan rakyat.
“Sampai bila Sabah harus menunggu? Rakyat Sabah masih bergelut dengan kemiskinan, menempuh jalan yang rosak dan berlubang-lubang. Bekalan air yang tidak menentu dan pembangunan yang jauh ketinggalan.
“Kita orang Sabah tidak minta sedekah. Kita tidak minta ihsan. Kita hanya menuntut hak. Hak yang sudah dijanjikan dan dipersetujui… Hak yang dimeterai dalam sejarah negara ini,” tegasnya.
Beliau menyatakan kekesalan dan kekecewaan kerana suara Sabah seolah-olah tidak didengari dan janji demi janji dimungkiri serta hak rakyat negeri ini terus dinafikan.
“Saya ingin tegaskan di dewan yang mulia ini, kesabaran rakyat Sabah juga ada batasnya. Jika hak ini terus dilengah-lengahkan, akan mencetuskan kekecewaan dan turut menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem Persekutuan itu sendiri,” katanya.
Sarifuddin berkata, perkara itu (penyelesaian isu hasil 40 peratus) merupakan satu pendirian, komitmen dan amanah yang jika gagal, akan menghantar mesej kepada rakyat bahawa kepentingan politik lebih besar dari kepentingan negeri.